Monday, August 17, 2015

Permohonan Maaf PKR Tebus Maruah Saya, Bukti Tohmahan Tidak Benar - Khalid

SHAH ALAM : Mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengambil pendekatan berlapang dada dan mahu meneruskan perjuangan untuk rakyat selepas fitnah PKR terhadapnya terbukti tidak benar.

ADUN Pelabuhan Klang itu merujuk kepada bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution dan PKR yang telah menyatakan rasa kesal mereka dan memohon maaf kerana mengeluarkan dan mengedarkan satu laporan 91 mukasurat yang mengandungi pelbagai tuduhan fitnah terhadap beliau bagi menyingkirkannya sebagai Menteri Besar.

Jumaat lalu kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan saman berkenaan secara baik.

"Mereka mengakui bahawa laporan tersebut telah dikeluarkan dan diedarkan bagi menjelaskan mengapa saya perlu dilucutkan dari jawatan Menteri Besar Selangor dan bukanlah satu bukti muktamad bahawa saya telah melakukan kesalahan seperti fitnah yang disebut.

"Mereka turut menyatakan rasa kesal dan mengakui bahawa penyataan di dalam laporan tersebut tidak sepatutnya diperkatakan serta memberi akujanji tidak akan mengulangi tuduhan serta fitnah tersebut.

"Justeru setelah maruah saya ditebus dengan kenyataan maaf oleh PKR lantas terbukti bahawa segala tohmahan yang dilemparkan ke atas saya ternyata fitnah semata-mata maka saya kini boleh memberi tumpuan penuh untuk melakukan usaha ini," ujarnya memetik kenyataan di laman Facebooknya, hari ini.

Bertajuk 'Langkah Kajang, Langkah Kecundang', Khalid menerusi kenyataan itu juga menyifatkan strategi politik yang disusun PKR semata-mata mahu menyingkirkan beliau akhirnya menyebabkan kepincangan hubungan di dalam Pakatan Rakyat (PR).

Apatah lagi ia memberi kesan yang negatif terhadap PAS, tegasnya.

"Langkah Kajang telah berjaya mengaibkan saya yang akhirnya menyebabkan saya kehilangan jawatan. Namun, lebih malang lagi, strategi politik yang tidak bermoral ini telah turut menyebabkan keretakan dalam pemuafakatan antara parti komponen Pakatan Rakyat akibat sikap politik retorik dan hipokrit.

"Akibatnya PAS – sebuah parti politik yang mempunyai kekuatan 'grassroots' dan tenaga mereka kongsi sepenuhnya pada setiap pilihanraya – telah diketepikan dan dipecah-belahkan; bahkan pemimpin mereka turut terpalit dan diaibkan," terangnya lagi.

Bukan itu sahaja, strategi politik ini juga akhirnya memberi kesan kepada kepentingan rakyat, khasnya dalam isu penstrukturan semula air di Selangor.

"Tanah Selangor diserahkan kembali kepada golongan 'rentier' yang hanya mengaut laba atas angin, masalah sampah masih berleluasa serta halatuju pentadbiran negeri yang masih kabur," katanya.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Jumaat lalu merekodkan Penghakiman Persetujuan melalui kes Saman Fitnah yang difailkan Khalid terhadap Saifuddin dan PKR.

Saman itu berhubung edaran fitnah yang mengaitkan mengapa Khalid perlu digugurkan sebagai Menteri Besar Selangor.

PKR pada Mac tahun lalu melaksanakan Langkah Kajang, sehingga menyaksikan bekas ADUN Kajang, Lee Chin Cheh melepaskan jawatan sebagai wakil rakyat kawasan itu untuk memberi laluan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi berkenaan bagi membolehkannya diangkap sebagai menteri besar.

Bagaimanapun, beliau hilang kelayakan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang selepas disabitkan kesalahan dengan kes liwat, dan kerusi berkenaan ditandingi Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Jawatan Menteri Besar Selangor akhirnya menimbulkan konflik politik di negeri itu, termasuk hubungan antara PAS-DAP-PKR dan campur tangan pihak istana, sehinggalah menyaksikan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dilantik menggantikan Khalid. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment