Friday, August 21, 2015
Persepsi Negatif Terhadap Ekonomi Negara Perlu Segera Dibetulkan – Mustapa
21 Ogos 2015, Kota Baharu : Persepsi negatif terhadap ekonomi negara perlu
segera diperbetul bagi menangkis kekeliruan yang wujud dalam kalangan
rakyat, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri
Mustapa Mohamed.
Beliau berkata kerajaan mengenal pasti bahawa kedudukan ekonomi hari
ini bukan satu krisis tetapi satu keadaan yang berpunca daripada
persepsi dan sentimen.
“Umpamanya persepsi bahawa ekonomi negara kita terlalu bergantung
kepada minyak. Ini tidak betul kerana 77 peratus daripada eksport kita
terdiri daripada barangan pembuatan. Pergantungan kita kepada minyak,
kelapa sawit dan getah cuma 23 peratus,” katanya kepada pemberita di
sini malam tadi.
Mustapa berkata keadaan ekonomi berkemungkinan juga ada kaitan dengan politik namun faktor itu dilihat bersifat sementara.
Beliau berkata ekonomi negara masih kukuh seperti yang diumumkannya
dua hari lepas iaitu Malaysia mencatatkan pertumbuhan pelaburan baharu
diluluskan sebanyak RM113.5 bilion pada separuh pertama tahun ini,
dengan 81.1 peratus merupakan pelaburan domestik.
Dari segi pelaburan jangka panjang, beliau yakin ekonomi Malaysia akan terus berkembang.
“Yang penting, kita perlu menguruskan persepsi sebaik mungkin,
termasuk memperbaiki komunikasi supaya rakyat memahami keadaan ini,”
katanya.
Sementara itu, Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO
Kelantan berkata beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak atas usahanya menambah kemudahan kesihatan di
Kelantan.
Katanya pembinaan Pusat Rawatan Harian Hospital Raja Perempuan Zainab
II dengan kos RM180 juta dan pembinaan hospital di beberapa daerah lain
memberi peluang rakyat menikmati perkhidmatan kesihatan yang lebih
baik.
Perdana Menteri dijadual merasmikan Pusat Rawatan Harian HRPZ II itu, esok.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment