Monday, August 24, 2015

Sentuh Hati Dan Minda Rakyat Supaya Cintakan Kerajaan – Ahmad Zahid

KOTA BELUD : Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta semua anggota dan kepemimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) agar merapatkan barisan dan berusaha memenangi hati dan minda rakyat supaya cintakan kerajaan.

Ahmad Zahid yang juga naib Presiden UMNO berkata usaha berkenaan perlu dilakukan secara berterusan mulai sekarang dan bukannya menunggu sehingga pilihan raya umum ke-14 dalam tempoh lebih kurang dua tahun lagi untuk berbuat demikian.

“Kalau kita tidak suntik semangat cinta rakyat kepada kerajaan, kerajaan yang komited untuk membantu rakyat dalam segala aspek, maka tunggulah (akibat) apabila pembangkang dengan budaya kebenciannya kepada kita, yang menyebabkan sesuatu fitnah itu diulang-ulang, akhirnya berlaku seolah-olah fitnah itu adalah benar.

“Apabila fitnah itu seolah-olah benar dibenak dan fikiran rakyat, maka kita akan berada dalam keadaan yang cukup goyah.

“Sebab itu, saya menyeru kepada ahli dan kepimpinan BN Sabah dan negeri-negeri yang lain, jangan pernah percaya kepada fitnah yang mahu merosakkan kepemimpinan dan kerajaan yang akhirnya matlamat mereka (pembangkang)ialah untuk mengambil alih kerajaan sedia ada yang didokong oleh kita,” katanya.
KOTA BELUD, 23 Ogos --Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (kanan) dan Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Ketua Perhubungan UMNO Kota Belud Datuk Seri Dr. Mohd Salleh  Said Keruak (kiri) pada majlis Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Belud di Dewan Tun Said hari ini. --fotoBERNAMA(2015) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Kota Belud di sini hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Kota Belud Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Belud dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Yahya Hussin.

Menurut Ahmad Zahid tidak ada makna untuk memegang jawatan-jawatan penting dalam parti sekiranya kerajaan yang didokong oleh UMNO dan BN ini terlepas kepada parti pembangkang yang tidak henti-henti merancang strategi untuk merampas kerajaan termasuk melalui ‘pintu belakang’.

Justeru Ahmad Zahid mengingatkan sebelum perkara itu berlaku dan walaupun kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah adalah deposit tetap kerajaan BN namun tidak mustahil ia boleh cair sekiranya barisan kepimpinan UMNO dan BN Sabah serta kesatuan anggota parti tidak kukuh.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid meminta semua anggota akar umbi dan kepimpimpinan UMNO dan BN perlu terus setia, dan bersatu menyokong dan mendokong kepimpinan kerajaan dan parti sedia ada tidak kira apapun bentuk cabaran yang dihadapi oleh kerajaan.

“Saya minta, (walaupun) tikaman dari belakang, dari depan, dari kiri dan kanan, jangan menyebabkan kita goyah. Kita yakin kepimpinan (kita) akan sentiasa membawa wadah yang terbaik untuk kita semua. Kita harus bersama kepemimpinan dalam setiap masa dan dalam keadaan apa sekalipun,” katanya.

Mengulas tuduhan beberapa pihak kononnya beliau cuba bersandiwara berikutan pendedahannya berhubung cubaan pihak tertentu untuk menggulingkan kerajaan melalui pintu belakang, Ahmad Zahid menegaskan cubaan berkenaan memang wujud dan beliau ada maklumat tepat mengenai perkara itu.

“Saya Menteri Dalam Negeri. Saya mendapat maklumat yang tepat. Saya bertanggungjawab untuk menyekat mana-mana pihak yang mahu ‘masuk melalui pintu belakang’ untuk mengambil alih kerajaan pada hari ini. Kalau sekatan tidak dibuat, saya fikir kerajaan sekarang telah bertukar tangan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata pihak berkenaan berhasrat menubuhkan apa yang dikatakan mereka sebagai kerajaan perpaduan namun sebenarnya adalah mengambil alih kerajaan sekarang yang dipilih oleh rakyat.

Katanya pihak berkenaan dengan kepimpinan yang gelojoh tahu bahawa mereka telah gagal membentuk kerajaan melalui pilihan raya dan tidak sabar lagi menunggu pilihan raya umum akan datang maka mereka sanggup menggulingkan kerajaan melalui pintu belakang.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid menegaskan usaha pembangkang untuk merampas kuasa secara tidak demokratik berkenaan tidak akan berjaya dan tidak akan diizinkan selagi UMNO dan BN Sabah dan UMNO dan BN di Semenanjung masih kukuh.

“Kita tak mahu juga ada dalang, sama ada pemimpin yang masih ada atau pemimpin yang telah bersara menjadi dalang untuk jatuhkan kerajaan. Tidak ada kompromi. Rakyat tak akan izinkan ini berlaku, ahli UMNO dan BN tidak akan izinkan ini berlaku,” katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment