Tuesday, August 18, 2015

SKMM Digesa Siasat, Ambil Tindakan Tegas Terhadap Individu Pencetus Berita Palsu

KUALA LUMPUR : Susulan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini berhubung komplot menggulingkan kerajaan telah mencetuskan pelbagai spekulasi tidak berasas khususnya di laman media sosial.

Sehubungan itu, Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad telah menolak segala dakwaan tersebut dan menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) segera menyiasat agar tindakan tegas terhadap individu yang terlibat dalam menyebarkan spekulasi palsu tersebut dapat diambil.

“Perkara seperti ini tidak seharusnya dijadikan bahan gurauan kerana ia dikira sebagai satu penghinaan terhadap institusi Parlimen dan kepemimpinan kerajaan yang sedia ada,” katanya di sini.
Kuala Lumpur, 18 Ogos--Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Sharir Samad beramah mesra bersama ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional sebelum sidang media berhubung penafian ahli Parlimen Barisan Nasional dalam komplot untuk menjatuhkan Kerajaan Malaysia di Bangunan Parlimen Malaysia petang ini. - Foto : MediaUMNO
Tegasnya, spekulasi liar yang kononnya terdapat 20 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) terlibat dalam gerakan sulit dalam usaha untuk menggulingkan kerajaan adalah sama sekali tidak benar.

“Khabar angin tersebut adalah inisiatif individu tidak bertanggungjawab untuk melaga-lagakan ahli-ahli Parlimen dan seterusnya mencetuskan satu lagi perbalahan di antara satu sama lain,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau berkata, tidak ada sesiapa dari ahli Parlimen BN yang dihubungi atau menghubungi mana-mana pihak menyatakan soal tidak menyokong kepada kepemimpinan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya akan cuba mengadakan satu perjumpaan dengan Timbalan Perdana Menteri untuk menyuarakan pandangan tentang permasalahan ini.”

Sebagai ahli Parlimen, dari semasa ke semasa percanggahan pendapat terhadap pemimpin memang ada, tetapi pendapat itu disalurkan melalui jalur yang betul dan ianya tidak menimbulkan sebarang permasalahan”, ujar beliau.

Tegas beliau lagi, sokongan terhadap kepemimpinan Najib selaku Perdana Menteri tetap utuh dan tidak berbelah bahagi walau terdapat pelbagai ujian yang melanda UMNO ketika ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri oleh 34 anggota BNBBC di Bangunan Parlimen di sini Selasa.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment