Monday, August 24, 2015

Wakil Rakyat PAS Sertai GHB Tak Perlu Lepas Jawatan

SHAH ALAM : Wakil rakyat PAS yang bakal menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB) tidak perlu mengosongkan kerusi masing-masing kerana rakyat yang memilih mereka mewakili Pakatan Rakyat (PR) bagi membawa perubahan dalam agenda politik negara.

Penasihat Umum GHB, Ahmad Awang berkata, selagi mana wakil rakyat yang dipilih kekal memperjuangkan matlamat berkenaan, maka mereka layak untuk terus menggalas amanah rakyat.

"Di satu segi lain, tidak ada peruntukan perundangan dalam Perlembagaan Persekutuan mahupun amalan secara konvensional yang mengisyaratkan keperluan meletakkan jawatan.

"Kenyataan PAS mendesak mereka meletakkan jawatan dalam keadaan mereka terus memperjuangkan hasrat rakyat yang telah mengundi mereka adalah membelakangkan kepentingan pengundi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan sebagai maklum balas kepada saranan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang meminta wakil rakyat parti Islam itu mengosongkan kerusi mereka jika ingin menyertai parti baru yang bakal ditubuhkan GHB.

Hadi berkata wakil rakyat berkenaan perlu berbuat demikian kerana telah melanggar sumpah bai'ah yang dibuat sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), dua tahun lalu.

"Terpulang kepada maruah mereka. Mereka membuat sumpah bai'ah sebagai wakil rakyat PAS.

"Mereka mengangkat sumpah, berjanji. Jadi, mereka sepatutnya meletak jawatan dan kosongkan kerusi," kata Hadi kepada media pada perhimpunan PAS Tolak BN di Kota Sarang Semut, Kedah petang semalam.

Ahmad menambah, berbanding meminta wakil rakyat PAS yang ingin menyertai GHB meletakkan jawatan mereka, adalah lebih baik untuk Hadi mendesak mana-mana ahli parlimen pembangkang yang tidak menyokong undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, untuk berbuat demikian (meletakkan jawatan). 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment