Thursday, August 13, 2015

Wanita UMNO Langkawi Rela Gadai Maruah Demi Gulingkan Perdana Menteri

EDITOR MENULIS...
13 OGOS 2015

Sebelum hari ini, mungkin ramai yang tidak kenal dengan nama Anina Saaduddin. Namun tiba-tiba nama ahli Wanita UMNO Langkawi itu melonjak naik menjadi perhatian portal pro-pembangkang, Malaysiakini.com untuk ditemuramah.

Saya menjangkakan bahawa ekoran kritikan terbuka terhadap Presiden UMNO, Dato' Seri Najib Tun Razak, maka ia menjadi sebab dia begitu diminati Malaysiakini. Memang begitu sikap Malaysiakini yang suka mensensasikan cerita yang memburuk-burukkan Perdana Menteri bukan?

Apa yang dikatakan Anina tentang Najib? Perwakilan Wanita Umno Bahagian Langkawi itu mendakwa kononnya Najib sengaja menangguh pemilihan UMNO kerana beliau tidak yakin boleh mempertahan jawatan Presiden.

"Atas dasar apa Najib nak kata tiga juta ahli sokong dia sedangkan pemilihan UMNO yang akan datang, ditunda ke 2016. Kalau dia tunda, maknanya dia tidak yakin bahawa dia dapat sokongan dalam pemilihan akan datang," katanya yang dipetik dari portal pro-pembangkang itu.

Sekarang, cuba bandingkan pula dengan kenyataan Najib yang dibuat pada 26 Jun lalu.

"Pemilihan parti tahun hadapan akan ditangguhkan selama 18 bulan. Setelah kita dibincangkan, MT mengambil keputusan itu mengikut Fasal 10.16 Perlembagaan parti yang memberi hak kepada majlis tertinggi," kata Najib, bersama Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ada bersama ketika sidang media diadakan.

Berdasarkan kenyataan Anina itu, dia menunjukkan dirinya sendiri tidak faham tentang isu penangguhan pemilihan UMNO itu, bukan?

Dia mengatakan bahawa pemilihan UMNO ditunda ke tahun 2016. Sedangkan fakta yang sebenarnya ialah pemilihan UMNO yang dijadualkan berlangsung pada tahun 2016 telah ditangguh 18 bulan di mana ia bermaksud pemilihan tersebut akan berlangsung pada tahun 2018 dan bukan pada tahun 2016 sebagaimana yang Anina dakwa!

Keduanya, Najib dengan jelas mengatakan keputusan menangguhkan pemilihan itu adalah hasil perbincangan Majlis Tertinggi UMNO yang bersidang. Jadi, ia adalah merupakan keputusan yang dibuat secara syura dan kolektif, bukan keputusan Najib seorang sahaja!

Dengan itu, adalah sewajarnya dakwaan Anina yang mengatakan Najib tidak yakin mempertahan jawatan Presiden itu 'dibakul sampahkan' sahaja, bukan? Tiada kredibiliti...

Saya hairan mengapa Wanita UMNO Bahagian Langkawi memilih perwakilan yang "tidak faham isu" untuk bercakap di persidangan mesyuarat agung mereka. Fakta pun tak betul, faham apatah lagi, kan?

Sepatutnya, disaat ramai ahli UMNO yang tidak faham dan terpengaruh dengan dakyah propaganda pihak yang mahu menjatuhkan institusi Presiden, maka perwakilan UMNO perlu bertindak menyelamatkan keadaan, bukan memburukkan keadaan!

Apabila Anina mengkritik Najib menggugurkan Muhyiddin dan Naib Presiden UMNO, Dato' Seri Shafie Apdal dari kabinet negara umpama 'UMNO terbang sebelah sayap', saya menyimpulkan wakil Wanita UMNO Langkawi itu kurang ilmu sehingga tidak tahu membezakan antara pentadbiran kerajaan dan pentadbiran parti.

Dakwa Anina, tindakan itu dilakukan Najib kononnya kerana mahu mempertahankan jawatan beliau. Benarkah dakwaan itu atau itu hanyalah satu lagi bukti kecetekan akalnya sekaligus membuktikan suaranya wajar 'dibakul sampahkan' sekali lagi?

Najib menggugurkan Muhyiddin dan Shafie dari kabinet kerajaan kerana kedua pemimpin itu tidak bertanggungjawab dalam konsep "collective decision" yang dipersetujui di dalam mesyuarat kabinet. Tindakan itu dibuat dengan berat hati demi mengukuh dan melancarkan peranan kerajaan. Itu hak prerogatif Perdana Menteri untuk memastikan barisan kabinetnya 'satu kepala', faham?

Itu bukanlah bermaksud Najib mahu semuanya "yes man", tapi untuk berkata "no man", ia sepatutnya dilakukan di dalam mesyuarat kabinet sebelum sesuatu keputusan itu dibuat, faham? Itu adalah satu proses normal pentadbiran kerajaan.

Sejak bila 'UMNO terbang sebelah sayap'? Muhyiddin masih kekal sebagai Timbalan Presiden UMNO dan Shafie pula kekal sebagai Naib Presiden UMNO. Di mana yang 'terbang sebelah sayap'nya, Anina? Atau itu hanyalah sekadar menunjukkan tahap IQ Anina yang rendah?

Anina perlu ingat bahawa Najib bukanlah seorang Presiden 'kuku besi' sebelum ini yang bukan saja memecat Timbalan Perdana Menteri, malah turut memecat Timbalan Presiden UMNO dan semua jawatan yang disandangnya sama ada di dalam kerajaan dan parti.

Jika ingin tahu lebih lanjut, Anina boleh ke penjara Sungai Buloh dan bertanya pada salah seorang 'banduan terkenal' yang menghuni penjara itu. Beliau boleh ceritakan A hingga Z secara terperinci.

Untuk menjawab kebobrokan Anina mengenai pertukaran dua Pengarah SPRM itu, ingin dijelaskan sedikit kepada Wanita UMNO itu mengenai konsep pengasingan kuasa di dalam sebuah kerajaan demokrasi berparlimen.

Keputusan pertukaran tersebut dilakukan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Ali Hamsa selaku ketua kepada seluruh penjawat awam di Malaysia. Kuasa dan autoriti yang ada padanya ialah mengambil tindakan disiplin kepada mana-mana penjawat awam yang melanggar disiplin.

Bagi kes dua pengarah itu, kesilapan mereka hanyalah kerana memberikan kenyataan kepada media tentang satu siasatan yang belum selesai, malah belum pun ada sebarang keputusan jelas mengenainya. Ia bersalahan dengan etika penjawat awam. Faham?

Namun, isu pertukaran itu telah pun selesai apabila kedua pengarah itu dipanggil dan ditemubual sendiri oleh KSN dan keputusan tersebut telah pun dibatalkan. Kedua Pengarah SPRM itu telah menyambung kembali tugas mereka dengan aman. Faham?

Justeru itu, tiada sebarang sebab untuk isu itu dikaitkan dengan Najib pun kerana beliau selaku Perdana Menteri, langsung tidak campur tangan dalam hal autoriti KSN. Najib mungkin ketua golongan Legislatif dan Eksekutif, tetapi beliau tidak campur tangan dalam hal ehwal pengendalian jawatan penjawat awam.

Jika Najib campur tangan, apakah semua kes pertukaran penjawat awam di Malaysia yang melibatkan guru, polis, kastam, imigresen dan semua jabatan kerajaan diatur serta diselia oleh Najib? 

Jika hendak tuduh pun, biarlah logik sedikit...

Saya menjangkakan bahawa Anina merupakan salah satu mangsa yang terpengaruh dengan propaganda politik pihak tertentu untuk menjatuhkan Perdana Menteri, menimbulkan kebencian dan memburukkan imej beliau di mata rakyat. Itulah hasilnya jika mahu bercakap, tapi tidak menggunakan fakta yang benar selain kurangnya jati diri kepartian.

Sekiranya perkara ini berlaku di zaman Tun Dr Mahathir, saya yakin Anina akan teruk diganyang, dimalukan dan berkemungkinan besar akan berdepan dengan tindakan disiplin yang berat. Muhyddin itu sendiri, belum tentu lagi masih boleh memegang jawatan Timbalan Presiden jika insiden 'no man' ini berlaku di zaman Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri dulu. Tapi mujurlah di zaman Najib ini konsep 'kuku besi' memang tidak ada dalam kamus beliau, kan?

Disediakan oleh :
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhQCi4eJXqbG0F7gmml5NYHPPMVLFFxX1dREvanemGrClOUCdmpo6aR-EiXjWlwW6RwQGGQq_hPHHRqvqlIkL_Z9YFe3sYr51SxhyHyYpOsydJ04uEClgfcbXshoC2HsppOQ2YDVyxJxfyd/s1600/penceramah2.png
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban

No comments:

Post a Comment