Petaling Jaya
Monday, August 03, 2015
Warkah Buat Ahli UMNO: Pengguguran Muhyiddin Dan Budi Najib Razak
Assalamualaikum Ahli UMNO Semua,
Pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri
adalah satu kejutan besar kepada kita. Namun ia tidaklah sebesar
pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri pada
2 September 1998. Malah pengguguran ini tidak menyamai tindakan Tun
Musa Hitam meletak jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1986.
Kejutan penggugguran Muhyiddin hanyalah sebesar tindakan Datuk Seri
Mahathir Mohamad, dalam ucapan terbuka di Kuala Terengganu, yang secara
tersirat meminta agar Encik Ghafar Baba, yang ketika itu Timbalan
Perdana Menteri, memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam
pertandingan Timbalan Presiden UMNO pada 1993.
Sebagai ahli UMNO yang suka melihat dan mengkaji keputusan-keputusan
politik, saya berharap ahli UMNO dan rakyat Malaysia sedar bahawa
pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri
bukan kerana beliau mengkritik 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) atau
Perdana Menteri.
Pengguguran Tan Sri Muhyiddin sebagai Timbalan Perdana Menteri adalah
kerana beliau tidak lagi boleh bekerja sebagai satu pasukan dan tidak
lagi amanah kepada pentadbiran kerajaan yang beliau dokongi.
Ketika Kerajaan diserang segenap penjuru oleh pembangkang dan anasir
asing (Sarawak Report dikendalikan oleh warganegara British, bukannya
rakyat sarawak), kita tidak boleh mempunyai seorang kitol yang menembak
dari dalam pentadbiran.
Perdana Menteri telah membentangkan laporan mengenai 1MDB kepada
kabinet bersama dengan “factsheet”. Perdana Menteri juga telah memberi
satu arahan jelas kepada semua anggota kabinet agar menulis pertanyaan
kepada beliau dan 1MDB sekiranya ada yang tidak jelas atau meragukan.
Kabinet juga bersetuju dengan pelan menyelamat dan bantuan kepada
1MDB. Tidak ada bantahan daripada Timbalan Perdana Menteri yang kononnya
jaguh pejuang rakyat.
Justeru apabila Muhyiddin bercakap kepada umum seolah-olah beliau
tidak tahu apa-apa dan hanya mendapat maklumat dari The Edge (akhbar
yang digantung penerbitannya oleh Kementerian Dalam Negeri kerana
dipercayai menyiarkan dokumen palsu), ia merupakan satu pengkhianatan
kepada Kabinet.
Beliau bukan sahaja tidak menghormati keputusan kabinet yang beliau
turut serta, malah memburukkan KDN yang diketuai oleh rakan kabinet
lain. Apakah ini yang kita harapkan dari pemimpin nombor dua negara dan
parti?
Kabinet telah diminta menulis sebarang pertanyaan dan kekeliruan
mengenai 1MDB. Apakah Muhyiddin mengemukakan sebarang pertanyaan untuk
mendapat kebenaran? Saya percaya tidak ada.
Jika ada pasti beliau telah
bercerita.
Sebaliknya Muhyiddin pergi kepada umum dan menyatakan beliau tidak
tahu apa-apa mengenai 1MDB. Apakah ini jenis anggota pentadbiran yang
diperlukan?
Bagaimanakah Perdana Menteri dan Kerajaan boleh meyakinkan rakyat
apabila Timbalan beliau sendiri mempertikaikannya secara terbuka?
Jangan kita bersikap hipokrit. Jika anda ketua, adakah anda akan
kekalkan sesiapa dibawah anda yang secara terbuka dan berkali-kali
membelasah anda di belakang anda? Ia tidak mungkin berlaku baik dalam
politik, pejabat mahu pun perniagaan. Malah di media sosial pun berapa
kali kita “block” orang lain yang menghentam kita.
Perdana Menteri mahu menyelesaikan kemelut 1MDB. Namun ia sukar
diselesaikan sekiranya tidak mempunyai pasukan yang jujur, ikhlas dan
komited membantunya. Apakah pilihan Perdana Menteri dan Presiden parti
ada jika timbalannya sendiri mensabotaj kerajaan?
Muhyiddin patut bersyukur kerana Mohd Najib menyingkirkannya secara
terhormat dan penuh digniti. Apa nasib Anwar Ibrahim apabila Mahathir
mahu menyingkirkannya pada 1998?
Mahathir menyingkirkan Anwar kerana Anwar sudah tidak lagi boleh
memainkan peranannnya sebagai anggota kabinet dan parti dalam satu
pasukan. Beliau menggunakan jentera kerajaan dan parti untuk memburukkan
kepimpinan Mahathir.
Alasan seks luar tabie ini sungguhpun benar ia hanyalah alasan.
Mengikut Tun hanif Omar, risikan telah melaporkan kepada Mahathir
mengenai tabiat luar tabie Anwar Ibrahim sejak 1993. Namun hanya pada
1998, Anwar Ibrahim dipecat menggunakan alasan terbabit kerana beliau
sudah mengkhianati pasukan pentadbiran dan partinya.
Mohd Najib tidak memilih jalan tersebut sungguhpun sekian banyak
gosip dan skandal kelulusan projek dan tanah dari zaman Menteri Besar
sehingga ke Timbalan Perdana Menteri boleh digunakan ke atas Muhyiddin
Yassin.
Mohd Najib hanya mahu tahu mengapa Muhyiddin memburukkan beliau,
kerajaan dan 1MDB di luar dan ia tidak boleh dijawab oleh timbalannya
itu. Maka di situ berakhirlah kedudukan Muhyiddin sebagai Timbalan
Perdana Menteri.
Apakah Mohd Najib jahat, rakus dan auotkratik? Ia terserah kepada penilaian anda.
Hakikatnya, tiada Perdana Menteri termasuk Mahathir Mohamad, tiada
jeneral paling hebat termasuk Alexander The Great, mampu mempunyai
timbalan yang sering mensabotaj beliau dan menjatuhkan moral pentadbiran di khalayak ramai.
Amin bin Yatim
Petaling Jaya
Petaling Jaya
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment