Monday, November 02, 2015
DAP Isytihar Bertanding Lawan PAS di 8 Kerusi DUN Selangor
KUALA LUMPUR : DAP mengumumkan persiapan untuk meletakkan calon
dan bertanding di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor
yang kini dipegang oleh wakil PAS.
Pengerusi DAP Selangor Tony Pua dalam satu sidang media di ibu negara
pada Jumaat berkata, lapan kawasan DUN yang dimaksudkan itu ialah Taman
Templer, Lembah Jaya, Paya Jaras, Sri Serdang, Meru, Chempaka, Dusun Tua
dan Tanjung Sepat.
“Kita akan buat persediaan untuk bertanding di kawasan-kawasan ini. Sama
ada kita akan bertanding di kesemua DUN itu atau beberapa daripadanya
akan dibincang dalam mesyuarat Pakatan Harapan negeri Selangor.
“Ia bergantung kepada rundingan, namun kami akan lakukan persiapan yang
sewajarnya untuk bertanding di lapan kerusi tersebut yang kini dipegang
oleh wakil PAS,” ujar Tony.
Sebagai langkah pertama, DAP telahpun melantik Naib Pengerusi DAP Bandar
Utama Edry Faizal Eddy Yusof sebagai penyelaras bagi DUN Taman Templer,
untuk menjalankan langkah-langkah persediaan bagi DAP bertanding di
situ.
Apabila ditanya kepada beliau sama ada hasrat tersebut sudah disampaikan
kepada Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Menteri
Besar Selangor, Tony memberi reaksi dengan mengatakan bahawa perkara itu
tiada kena-mengena dengan Mohamed Azmin Ali.
“Apa kena-mengena perkara ini dengan Azmin?
“Dia Menteri Besar Selangor tapi kita bercakap tentang pilihan raya pada
2018. PKR silalah bekerjasama dengan PAS. Apa kena-mengena dengan DAP?
PAS sendiri sudah kata mereka hendak bertanding di kerusi-kerusi yang
disandang DAP,” ujar Tony.
Dalam perkembangan berkaitan, DAP Selangor bakal menjalankan Konvensyen
Negeri pada 1 November 2015 di Petaling Jaya dengan jangkaan kehadiran
1,220 delegasi .
Sejumlah 36 calon akan bertanding untuk merebut 15 jawatan tertinggi
bagi mengisi Jawatankuasa Negeri Selangor tahun 2015 hingga 2017.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment