Monday, November 02, 2015
PAS Sedia Jadi Penasihat Kerajaan BN.... DAP dan PKR Berbulu Saja Mendengarnya
KUALA TERENGGANU : Pas bersedia bertindak sebagai penasihat bagi
membantu kerajaan Barisan Nasional (BN) mentadbir negara dengan
sebaik-baiknya demi kepentingan rakyat.
Malah, pada masa sama, parti berkenaan dengan sinis turut menyindir DAP
dengan Kabinet bayangannya sambil menyifatkan tindakan bekas parti
sekutunya itu sebagai syok sendiri sekiranya mereka berjaya memerintah
negara selepas Pilihan Raya Umum-14 (PRU-14).
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas bersedia menjadi
penasihat kepada kerajaan berkaitan pelbagai isu yang menyentuh
kepentingan rakyat termasuk 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), cukai
barangan dan perkhidmatan (GST), perumahan, kejatuhan nilai mata wang
dan sebagainya.
“Kita nak tolong selesaikan masalah, kita bukan nak rebut kuasa. Kalau
UMNO ubah kuasa dengan konsep Islam, kita akan bantu dia. Yang penting
kita nak ubah pemerintahan kepada lebih baik berasaskan tuntutan Islam,”
katanya ketika berucap dalam program Dialog Rakyat Bersama Pas anjuran
Badan Perhubungan Pas Terengganu di sini hari ini.
Selain Abdul Hadi, dialog itu turut dijayakan oleh Dekan Fakulti Tamadun
Islam Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Kamaruzaman Yusof. Yang turut hadir, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat serta barisan kepemimpinan Pas negeri itu.
Abdul Hadi berkata, kepemimpinan Pas akan mengadakan perjumpaan dengan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membincangkan
pelbagai isu terutama berkaitan GST dan kenaikan kos sara hidup rakyat.
“Kita ada cadangan agar kerajaan hapuskan GST kerana ia menyusahkan
rakyat dan akan menyebabkan berlaku inflasi. Kita akan bincang bagaimana
cara untuk selesaikan masalah ini.
“Contohnya, dalam Islam, orang kaya saja dikenakan cukai, orang miskin
tak kena. Begitu juga orang Islam saja dikenakan bayar zakat manakala
bukan Islam kena bayar cukai,” jelasnya.
Dalam sidang akhbar selepas itu, Abdul Hadi berkata, sekiranya segala
teguran serta nasihat kepada kerajaan tidak memberi sebarang kesan, Pas
tiada pilihan melainkan terpaksa mengambil alih pemerintahan.
“Perjuangan kita untuk mengubah keadaan dan bukan berebut jadi
pemimpin. Tetapi kalau tidak berubah juga, menjadi tanggungjawab kita
untuk tukar kerajaan.
“Kita akan jadi pembangkang yang boleh menasihat dan kita bukan jadi pelahap nak rebut jawatan,” ujarnya.
Beliau turut mengulangi pendirian Pas untuk tidak sekali-kali bergabung dengan BN khususnya dalam menjalin kerjasama politik.
Ditanya mengenai usaha pihak pembangkang lain yang akan mengemukakan
usul menolak Bajet 2016 dalam sidang Parlimen, Abdul Hadi menegaskan,
Pas hanya bertindak sebagai pihak berkecuali.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment