Monday, November 02, 2015
Tahniah.... JDT Cipta Sejarah Juarai Piala AFC
KUALA LUMPUR : Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) melakar
sejarah baharu bola sepak tanah air selepas muncul pasukan pertama dari
Malaysia menjuarai Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Jaringan tunggal perancang tengah dari Argentina, Leandro Velazquez pada
minit ke-22 sudah cukup bagi skuad Harimau Selatan menundukkan juara
bertahan Liga Tajikistan, Istiklol FC pada aksi final di Stadium
Republican Central di Dushanbe, Tajikistan, malam tadi.
Selaku juara, JDT membawa pulang trofi Piala AFC yang disampaikan
sendiri oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar,
selain wang tunai berjumlah US$350,000 (RM1.502 juta), manakala Istiklol
FC meraih US$250,000 (RM1.072 juta) selaku naib juara.
Lebih manis, kapten JDT Safiq Rahim dinobatkan sebagai pemain paling
bernilai, manakala kapten Istiklol FC, Vasiev Dilshod dipilih sebagai
pemain terbaik perlawanan akhir.
Beraksi di atas padang tiruan malam ini, nyata memberi kelebihan kepada
pasukan tuan rumah yang menguasai babak awal perlawanan dengan melakukan
beberapa percubaan berbahaya ke arah pintu gol JDT, namun ketumpulan
jentera serangan menyaksikan mereka gagal meraih sebarang gol.
Nasib sebaliknya menyebelahi skuad Harimau Selatan yang berjaya
mengejutkan pasukan tuan rumah apabila membuka tirai jaringan pada minit
ke-22 menerusi Velazquez, sekali gus menggembirakan hampir 500
penyokong skuad Harimau Selatan yang turut hadir memberikan sokongan.
Gol berkenaan berpunca daripada sepakan penjuru Safiq yang ditampan
keluar oleh penjaga gol tuan rumah, Nikola Stosic sebelum Velazquez
meluru sebelum melepaskan rembatan kaki kiri daripada luar kotak
penalti.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment