Monday, November 02, 2015
Mahu Tanding 8 Kerusi PAS, DAP Tuding Jari Pada Azmin
PETALING JAYA : Keputusan DAP bertanding di 8 kerusi Dewan Undangan
Negeri (DUN) PAS pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) diambil selepas
Menteri Besar Mohamed Azmin Ali enggan mengubah gabungan di Selangor
walaupun Pakatan Rakyat (PR) berkubur, kata Tony Pua.
Pengerusi DAP Selangor itu berkata, partinya terus kekal dalam kerajaan
negeri yang dibentuk semasa PR masih wujud dahulu kerana tidak mahu
menimbulkan lagi pergolakan politik di negeri terkaya itu selepas Tan
Sri Abdul Khalid Ibrahim disingkirkan sebagai menteri besar.
"Sebab itu, DAP terus berada dalam sebuah kerajaan gabungan 'ad-hoc' dan
DAP akan menjalankan peranan supaya dasar bersama Pakatan Rakyat yang
disokong rakyat semasa pilihan raya dahulu akan dikotakan.
"Akan tetapi, gabungan ini tidak akan kekal selama-lamanya. Masa depan kita adalah bersama Pakatan Harapan.
"Apatah lagi PAS sudah berulang-kali menegaskan mereka memutuskan segala
kerjasama politik dengan DAP dan akan meletak calon PAS untuk
bertanding di kawasan yang dipegang DAP," kata Pua yang juga ahli
Parlimen Petaling Jaya Utara, semasa berucap di Konvensyen Biasa Negeri
DAP Selangor 2015 di Petaling Jaya, hari ini.
Pua kemudiannya berkata kepada pemberita, DAP hanya mengumumkan hasrat
awal untuk bertanding namun ia masih belum dimuktamadkan Pakatan
Harapan.
"Ini hasrat kita, ada 22 kerusi PAS dan kita berhasrat merebut 8 kerusi,
namun akhirnya sama ada kita mahu tanding 8, 5 atau 2 kerusi adalah
selepas perbincangan atau perundingan bersama dengan parti Pakatan
Harapan," katanya.
Pua berkata, tidak ada masalah bagi DAP memberi laluan kepada Amanah atau PKR sekiranya mereka ingin bertanding di kerusi itu.
"Hasrat untuk kita umum ialah untuk kerja-kerja dimulakan dan kalaulah
di kawasan itu Amanah berhasrat untuk bertanding, jentera kita siap
sedia akan beri sokongan.
"Parti kita bukan tikam belakang, kita bersetuju dengan parti lain,
selepas perundingan kita akan pegang pada persetujuan itu," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata DAP masih belum menetapkan tarikh
perbincangan dengan Pakatan Harapan mengenai hasrat bertanding di 8
kerusi DUN PAS.
"Belum lagi, pilihan raya belum lagi tapi sekarang kita buat kerja dulu.
Itu sebab kita usul supaya jentera DAP dapat mula kerja dan tidak kira
Amanah nak bertanding atau DAP, tapi apabila tibanya pilihan raya, calon
Pakatan Harapan mesti menang," katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment