Monday, November 02, 2015
Peluang Umno Cari Titik Persefahaman Dengan PAS - Mukhriz
YAN : Penubuhan Parti Amanah Negara (Amanah) dipelopori beberapa bekas
pemimpin PAS secara tidak langsung telah mewujudkan peluang kepada UMNO
untuk mencari titik persefahaman dengan PAS, kata Datuk Seri Mukhriz
Mahathir.
Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah itu berkata,
tindakan pemimpin PAS "melompat" ke Amanah merupakan peluang kepada UMNO
untuk menghidupkan semula usaha mencari titik persefahaman dengan PAS.
"Saya selalu sebut bahawa antara UMNO dengan PAS ini begitu banyak
sekali persamaan berbanding dengan perbezaan, (tetapi) malangnya,
biasalah manusia yang perbezaan itulah kita ungkit, tetapi persamaan
yang begitu banyak itu kita tidak sebut," katanya kepada pemberita
selepas melawat daerah Yan pada Sabtu.
Peluang untuk melihat kerjasama antara kedua-dua parti Melayu itu
katanya,wujud selepas "unsur-unsur" yang tidak bersetuju terhadap
permuafakatan antara UMNO-PAS telah menyertai Amanah.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia
(Perkasa) Datuk Ibrahim Ali semalam mencadangkan penubuhan Majlis
Ukhuwah Islamiah Negara (MUIN) dianggotai UMNO dan PAS selain pertubuhan
bukan kerajaan yang memperjuangkan bangsa Melayu dan agama Islam.
Mukhriz berkata, usaha untuk mewujudkan kerjasama di antara UMNO dan PAS
telah berjalan sejak sekian lama, tetapi tergendala atas sebab-sebab
tertentu.
"Jadi di pihak kami terbuka (terhadap cadangan Ibrahim Ali itu)," katanya.
Berhubung kenyataan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku
Mansor baru-baru ini tentang tujuh pemimpin parti sedang disiasat
kerana membuat kenyataan secara terbuka, beliau berkata UMNO merupakan
sebuah parti yang terbuka dalam menerima teguran.
Semua pihak, katanya, perlu memahami teguran dan kritikan terhadap parti
bertujuan untuk memperkuatkannya dan bukan merupakan satu tindakan
pengkhianatan terhadap UMNO.
"Ia bukan satu unsur pengkhianatan terhadap parti, jadi ia amat penting
untuk kita fahami. Kadang-kadang kita mengkritik atas niat untuk
memperkukuhkan, hendak menguatkan parti," katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment