Monday, November 02, 2015
Cari Mekanisme Baharu Selepas Pemansuhan Beras Subsidi Beras ST15 – Ahmad Shabery
BERA : Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan
mencari mekanisme baharu bagi membantu golongan kurang berkemampuan
untuk membeli beras selepas pemansuhan program subsidi beras Super
Tempatan (ST15), mulai tahun depan.
Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata antara mekanisme
yang boleh dipertimbangkan adalah menilai modul di negara lain, seperti
Thailand yang mana rakyatnya tidak makan beras tinggi kandungan hancur,
sebaliknya menggunakan beras tempatan mereka.
“Program beras subsidi in diperkenalkan pada tahun 2008 apabila
difikirkan bagaimana mahu sediakan beras pada harga yang murah.
Bagaimanapun, ada kelemahan dari segi pelaksanaan dan kita tidak mahu
beras yang dikeluarkan kepada rakyat Malaysia akhirnya sampai ke pihak
tidak sepatutnya.
“Kita juga memikirkan adakah selama-lamanya rakyat miskin di negara
kita akan makan beras hancur?,” katanya kepada pemberita selepas
merasmikan Pasaraya Agro pertama di Malaysia di Bera di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri
Ismail Sabri Yaakob yang juga anggota Parlimen Bera dan Pengerusi
Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas Pahang Datuk
Norol Azali Sulaiman.
Ahmad Shabery juga memaklumkan antara mekanisme lain yang boleh
dipertimbangkan ialah dengan memberi wang bersamaan jumlah subsidi bagi
sekampit beras, iaitu RM7.50 kepada golongan sasar supaya mereka dapat
menggunakannya untuk membeli beras yang lebih baik.
Kementeriannya juga akan berbincang dengan Kementerian Kewangan dan
kementerian kendalian Ismail Sabri yang ‘menjaga’ golongan penoreh getah
dan pekebun kecil yang merupakan golongan sasar program subsidi itu,
katanya.
Beliau memaklummkan kerajaan membelanjakan RM530 juta setahun bagi
program beras ST15, namun pemerhatian mendapati beras itu banyak dibeli
oleh warga asing dan restoran.
“Sesuatu program yang dilaksanakan mesti mempunyai data dengan
integrity tertentu dan data tentang pengedaran beras ini tidak
menyeluruh dan sempurna. Ia hanya di peringkat pengilang dan pemborong,
tetapi siapa yang membeli dan di mana kedainya… ini yang perlu kita
lihat sendiri,” katanya.
Semalam, Setiusaha Bahagian Industri Padi dan Beras MOA, Samsuddin
Ismail dalam satu kenyataan memaklumkan pemansuhan program subsidi beras
ST15 ekoran terdapat banyak masalah ketirisan berkaitannya.
Beras ST15 adalah beras tempatan yang mempunyai kandungan 15 peratus
beras hancur yang kualitinya sedikit rendah berbanding beras tempatan
biasa ST5 dibeli oleh majoriti pengguna dengan kandungan lima peratus
beras hancur.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment