Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
ingin menjelaskan bahawa SPRM telah dan sedang mengambil segala tindakan
yang perlu bagi melengkapkan siasatan kes SRC International dan dana
RM2.6 bilion secepat yang mungkin.
Sebagaimana telah disebutkan oleh SPRM pada 13 Oktober 2015, SPRM
menyasarkan untuk melengkapkan siasatan kes SRC International sebelum
akhir tahun ini dengan syarat boleh akses kepada dua pengarah SRC
International, saksi penting yang masih berada di luar negara, dan
diambil keterangan daripada mereka.
Pun begitu ia tidak menghalang SPRM daripada memanggil Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk diambil keterangan, kata Ketua
Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed kepada pemberita di
Kompleks SPRM Johor, Johor Bahru hari ini.
Tan Sri Abu Kassim berkata, pihak SPRM telah menghubungi Pejabat
Perdana Menteri dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah
bersetuju untuk diambil keterangan.
“SPRM sedang menunggu tarikh untuk menemu bual beliau (Perdana
Menter) bagi memberi penjelasan berhubung isu-isu yang berkaitan dengan
siasatan,” kata beliau.
Tan Sri Abu Kassim berkata, SPRM akan menjalankan siasatan merangkumi kesemua aspek.
“Pegawai-pegawai SPRM sedang bekerja keras untuk menyiapkan kertas
siasatan mengikut tempoh yang disasarkan oleh SPRM,” kata beliau.
Dalam pada itu, menurut Tan Sri Abu Kassim, berkaitan dengan siasatan
dana RM2.6 bilion, SPRM memerlukan masa untuk melengkapkan siasatan
kerana kebanyakan transaksi berlaku di luar negara, di mana ia
memerlukan proses Mutual Legal Assistance (MLA).
Justeru, SPRM memerlukan masa untuk mendapatkan kerjasama beberapa pihak dari luar negara, kata beliau.
Katanya, sementara SPRM berhasrat untuk menyelesaikan siasatan isu SRC
International dan dana RM2.6 bilion dengan kadar yang segera, SPRM tidak
akan berkompromi dari segi kepentingan bukti dan saksi-saksi yang
penting.
Menurut beliau, SPRM dari semasa ke semasa memaklumkan status siasatan kepada badan-badan bebas yang memantau perjalanan SPRM.
Sebagai sebuah suruhanjaya yang bebas, SPRM mengambil kira harapan
semua pihak termasuk kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu pada awal Oktober
2015.
SPRM memberi jaminan siasatan akan dijalankan dengan bebas, telus dan profesional mengikut Akta SPRM 2009.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment