Monday, November 02, 2015
Kaki Budak Tersepit Di Eskalator Suria KLCC
KUALA LUMPUR : Kaki seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun
tersepit pada eskalator di pusat membeli-belah Suria KLCC, malam Ahad.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat KLCC, Che Shaari Abdullah
berkata, kanak-kanak berkenaan berada pada eskalator bersama ibu bapanya
di aras dua pusat membeli-belah itu apabila kaki kirinya tersepit di
bahagian eskalator pada kira-kira pukul 7.40 malam.
Sepasukan anggota bomba digerakkan untuk membantu kanak-kanak berkenaan,
dan mereka terpaksa untuk menggunakan peralatan bagi mengungkil tapak
besi bagi mengeluarkan kaki mangsa.
Menurut Che Shaari, anggota bomba berjaya mengeluarkan kaki budak lelaki berkenaan kurang dari 10 minit.
"Dia (mangsa) memakai kasut. Tetapi anda boleh tersepit di ruang seperti
itu sekiranya kaki anda terlalu kecil dan sekiranya anda tidak
berhati-hati. Kanak-kanak itu dibawa ke hospital kerana kakinya cedera.
"Saya menasihatkan ibu bapa yang membawa anak kecil supaya berwaspada
dengan anak-anak mereka apabila berada di tempat awam bagi mengelakkan
kemalangan seperti ini," kata Che Shaari.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment