Monday, November 02, 2015
Mengintai Kedudukan Exco PAS di Selangor... Ini Amaran Setpol Azmin
Tekanan DAP terhadap Menteri Besar Selangor Mohamad Azmin Ali untuk
mengubah kedudukan Exco dengan memecat ADUN-ADUN PAS semakin lantang dan
bersemangat.
Ini kerana bagi DAP, mereka tidak lagi berkerjasama dengan PAS dan Pakatan Rakyat sudah terkubur.
Berlainan dengan PKR yang merasakan tanpa PAS... mereka akan hilang kuasa di Selangor terutamanya bagi kumpulan pro Azmin.
Ketika saga perlantikan MB Selangor setahun lalu, Azmin berjaya merebut
jawatan itu dari Tan Sri Khalid Ibrahim hanya dengan dokongan 13 ADUN
PAS dan pembelotan beberapa ADUN PKR dengan mengambil kira sokongan
ADUN-ADUN BN terhadap sesiapa yang diperkenan Sultan Selangor.
Hanya selepas Azmin mendapat sokongan PAS barulah ADUN-ADUN DAP dan PKR
yang pro Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyokongnya.
Sebab itu ketika desakan DAP supaya Azmin mengugurkan ADUN-ADUN PAS dari
barisan Exco, wujud kebimbangan berjangkit sama dengan pemimpin PKR.
Bagi Ketua Penerangan PKR Selangor yang juga Setiausaha Politik Menteri
Besar, Shuhaimie Shafie (gambar), mana-mana pemimpin PKR yang mendesak
kerajaan Selangor supaya menggugurkan Exco PAS perlu dikenakan tindakan.
Katanya, desakan itu bertentangan dengan keputusan Majlis Pimpinan Pusat
(MPP) pada 11 Oktober lalu yang telah memutuskan untuk memanjangkan
hubungan kerjasama dengan semua parti politik termasuk melibatkan ADUN
PAS dalam membentuk ‘kerjasama pentadbiran’ di Negeri Selangor dengan
sokongan semua Adun.
“Kenyataan tertentu yang dibuat seolah-olah mendesak untuk Menteri Besar
menggugurkan Exco daripada PAS adalah suatu saranan yang bertentangan
dengan resolusi mesyuarat MPP.
“Maka perlu suatu tindakan disiplin serta penyiasatan diambil terhadap
mana-mana pimpinan PKR yang jelas menolak pendirian semasa pada masa ini
yang telah diputuskan oleh MPP. Harus diingatkan semula, MPP adalah
badan pemutus tertinggi dalam PKR,” katanya menerusi kenyataan media.
Shuhaimie berkata, anggota serta pimpinan parti seharusnya memahami
situasi ini dan tidak memberikan suatu sisi pandangan yang tersasar
daripada maksud resolusi yang telah diputuskan oleh MPP PKR.
Dalam masa sama, dia juga menafikan sikap Menteri Besar, Mohamed Azmin
Ali yang masih mengekalkan ADUN-ADUN PAS sebagai Exco adalah suatu
bentuk langkah peribadi.
Sementara itu, DAP terus memberikan tekanan kepada Azmin untuk mengubah barisan Exco di Selangor.
Pengerusi DAP Selangor Tony Pua berkata, partinya terus kekal dalam
kerajaan negeri yang dibentuk semasa PR masih wujud dahulu kerana tidak
mahu menimbulkan lagi pergolakan politik di negeri terkaya itu selepas
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim disingkirkan sebagai menteri besar.
"Sebab itu, DAP terus berada dalam sebuah kerajaan gabungan 'ad-hoc' dan
DAP akan menjalankan peranan supaya dasar bersama Pakatan Rakyat yang
disokong rakyat semasa pilihan raya dahulu akan dikotakan.
"Akan tetapi, gabungan ini tidak akan kekal selama-lamanya. Masa depan
kita adalah bersama Pakatan Harapan," kata MP Petaling Jaya Utara,
semasa berucap di Konvensyen DAP Selangor 2015 di Petaling Jaya, Ahad.
Sebelum itu Pengerusi DAP Kajang Baru, Chiong Yoke Kong, dalam ucapannya
mahu DAP memberi tempoh kepada Azmin untuk memecat wakil rakyat PAS
daripada kerajaan negeri. Dan sekiranya Azmin gagal memecat wakil rakyat PAS Selangor, pimpinan
DAP harus tidak teragak-agak keluar daripada pentadbiran kerajaan negeri
itu.
"Kita mendesak kerana PAS sudah memungkiri janji dalam Pakatan Harapan,
jadi kita mahu pimpinan tertinggi DAP memberi tempoh kepada Azmin untuk
pecat wakil rakyat PAS ataupun DAP perlu keluar dari pentadbiran
tersebut," katanya semasa sesi bahas dalam Konvesyen Tahunan DAP itu.
Chiong bagaimanapun berkata terpulang kepada pimpinan tertinggi DAP
menetapkan tempoh masa kepada Azmin, tetapi ia harus dilaksanakan dengan
segera?
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment