Monday, November 02, 2015
Mesyuarat Pertama PAC Hari Ini Selepas Pelantikan Anggota Baharu
KUALA LUMPUR : Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC)
mengadakan mesyuarat pertamanya hari ini selepas pelantikan enam anggota
baharu termasuk pengerusinya.
Mesyuarat yang diadakan di Bilik Jawatankuasa 2, Bangunan Parlimen
dipengerusikan oleh pengerusinya yang baharu iaitu Anggota Parlimen
Rompin, Datuk Hasan Ariffin, yang dilantik memegang jawatan itu
berkuatkuasa 19 Okt lepas.
Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) itu menggantikan Datuk Nur Jazlan
Mohamed yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri susulan
rombakan Kabinet pada Julai.
Selain Hasan, anggota PAC yang baharu dilantik ialah Anggota Parlimen
Putatan, Datuk Dr Marcus Mojigoh dari BN dan Anggota Parlimen Kota
Baharu, Datuk Takiyuddin Hassan dari PAS.
Turut dilantik Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin), Datuk Ir Nawawi Ahmad
(BN-Langkawi) dan Datuk Koh Nai Kwong (BN-Alor Gajah) yang masing-masing
menggantikan Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang dilantik sebagai
Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Reezal Merican
Naina Merican (Timbalan Menteri Luar) dan Datuk Chua Tee Yong (Timbalan
Menteri Kewangan).
PAC kini mempunyai 14 anggota termasuk masih mengekalkan keanggotaan
Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) walaupun banyak kritikan dan desakan
supaya beliau digugurkan daripada PAC susulan kenyataannya terhadap
1Malaysia Development Berhad (1MDB) selain didakwa mendedahkan dokumen
siasatan PAC mengenai syarikat itu.
Bagaimanapun, Hasan ketika ditemui media di lobi Parlimen sebelum
mesyuarat bermula enggan mendedahkan perkara yang bakal dibincangkan
pada mesyuarat pagi ini.
Akhbar hari ini melaporkan PAC akan menyatakan pendiriannya berhubung
debat antara Tony Pua dan Presiden dan Pengarah Eksekutif 1MDB Arul
Kanda berhubung syarikat itu.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment