Thursday, August 27, 2015

PRU14: GHB Tidak Gentar Amaran PAS

SHAH ALAM : Amaran Pas negeri ini yang tidak akan memberi laluan mudah kepada calon daripada kumpulan Gerakan Harapan Baru (GHB) dalam pilihan raya umum akan datang tidak menjejaskan matlamat gerakan itu untuk mewujudkan sebuah parti politik alternatif kepada Pas.

Perkara itu dinyatakan oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang seolah-olah menganggap amaran sedemikian tidak memberi sebarang makna kepada GHB yang ketika ini sedang berusaha membina kekuatan bagi mencapai matlamat tersebut.

“Kalau mereka (Pas Selangor) nak menyukarkan kita, terpulanglah. Kita (GHB) akan teruskan usaha bina kekuatan.

“Soal letak calon (kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri), kita tidak mahu sebut sekarang. Nanti bila tiba pilihan raya, kita akan tentukan terma­suklah dari segi agihan (kerusi),” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Seksyen 13 di sini.

Khalid yang juga ahli GHB berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai amaran Pas Selangor semalam yang tidak akan memberi laluan mudah kepada mana-mana calon daripada GHB sekiranya gerakan itu membentuk sebuah parti politik dan bertan­ding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bagaimanapun, Khalid sebaliknya mengumumkan GHB akan meletakkan calon mereka untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-11 yang dijangka pada tahun depan.

“Kita telah buat keputusan untuk bertanding di Sarawak selepas parti baharu dilancarkan pada 31 Ogos ini,” jelasnya.

Terdahulu, beliau turut menyatakan Pas tidak berhak untuk memaksa mana-mana Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas yang menyertai GHB meletak jawatan masing-masing.

Ini kerana, katanya, ahli Parlimen dan ADUN Pas yang menyertai GHB masih mengekalkan prinsip asal mereka iaitu memperjuangkan Islam dan meneruskan tahaluf siyasi dengan PKR dan DAP di bawah pakatan pembangkang.

“Kami (wakil rakyat Pas sertai GHB) perjuangkan Islam bukannya perjuangkan Pas dan parti itu hanya wadah semata-mata. Sebaliknya, Pas yang mengkhianati PKR beberapa kali dan bertelagah dengan DAP,” ujarnya. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment