Thursday, September 24, 2015

Ambillah Rafizi..... Pakatan Harapan Sedia Terima MCA

SUBANG JAYA : Pakatan Harapan menerima penyertaan mana-mana parti komponen BN untuk menyertai pakatan pembangkang baharu itu dengan bersyarat.

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata, pihaknya tiada masalah untuk menerima mana-mana parti, asalnya mereka bersetuju kepada perjanjian, dasar dan etika bersama termasuk menolak dasar perkauman yang diamalkan pada masa ini

"Kita akan melayan semua pihak sama, kalau MCA menolak perkauman, MCA berjuang untuk reformasi institusi kerajaan dan bersetuju kepada perjanjian bersama, dan dasar bersama.

"Saya mengalu-alukan MCA, Gerakan atau parti dari Sabah dan Sawarak yang kini berada dalam BN," katanya kepada pemberita selepas rundingan meja bulat pembentukan pakatan pembangkang baharu itu di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kemungkinan MCA akan keluar dari BN susulan pendirian Pemuda MCA Pasir Gudang yang memutuskan hubungan dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana menyokong perhimpunan baju merah pada 16 September lalu.

Sementara itu, Rafizi juga berkata, pihaknya tidak menghadkan penyertaan mana-mana parti atau individu dalam Pakatan Harapan susulan mereka lebih mementingkan soal prinsip bersama.

"Sebab itu, soal perjanjian bersama, dasar bersama itu penting, semua itu penting yang akan diperhalusi dan dimuktamadkan.

"Sesiapa sahaja, parti atau individu atau kumpulan yang menyokong atau memegang kepada perjanjian serta prinsip bersama, itu adalah sebahagian daripada Pakatan Harapan, kerana kita bergerak di atas dasar prinsip, bukan soal siapa dan jumlah penyertaan," ujarnya.

Dalam pada itu, Rafizi berkata lagi, beliau tidak menolak penyertaan lebih banyak parti dan pihak akan lebih menguatkan pakatan pembangkang baharu itu.

"Kalau ditakdirkan ada lebih banyak parti yang sama-sama menyokong asas itu, saya rasa lebih ramai, lebih kuat Pakatan Harapan," katanya lagi. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment