Friday, September 25, 2015

Masjid Terbesar Eropah Di Moscow Dirasmi Putin

MOSCOW : Perbezaan agama tidak menghalang Presiden Russia, Vladimir Putin untuk merasmikan masjid baharu di Moscow dan terbesar di Eropah dalam satu acara besar-besaran semalam. Putin dalam ucapannya berkata, belia Islam di Russia perlu dididik dan tidak didiskriminasi bagi menghalang mereka daripada menjadi pelampau agama. Russia mempunyai lebih 20 juta penduduk Islam dan ramai dalam kalangan penduduk Islam Russia menjadi pelampau agama dan berjuang dengan pemberontak Negara Islam (IS).
"Kita lihat apa yang berlaku di Timur Tengah, pengganas IS menjatuhkan maruah dan mencemarkan Islam dengan menyemai sifat kebencian, membunuh orang serta memusnahkan warisan budaya di dunia dengan cara yang tidak bertamadun. "Ideologi mereka dibina di atas pembohongan dan penyelewengan Islam. Mereka cuba untuk merekrut pengikut di Russia juga. Pembinaan masjid baru ini diharap dapat menghalang penduduk Islam Russia terbabit dengan ideologi salah," katanya.

Masjid yang menelan kos AS$170 juta (RM745 juta) itu diberi nama Masjid Cathedral Moscow dengan seni bina masjid banyak mengikut seni bina rumah ibadat Kristian Ortodok Russia. Binaan kubah utamanya bersadur emas dan mempunyai menara tinggi mencerminkan budaya Moscow dan mempunyai bulan sabit sebagai simbol agama Islam. Majlis Mufti Russia menyatakan pembinaan masjid ini turut mendapat derma daripada pihak swasta, termasuk sumbangan daripada Kazakhstan dan Presiden Turki, Tayyip Erdogan yang turut hadir pada majlis perasmian. Masjid yang boleh menampung sehingga 10,000 jemaah telah dibina di atas tapak masjid yang lebih awal didirikan pada abad ke-20 awal oleh masyarakat Tatar. Islam adalah agama kedua terbesar di Russia selepas Ortodoks Kristian, yang membentuk kira-kira 15 peratus daripada penduduk. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment