Tuesday, September 22, 2015

UMNO Tidak Gentar Berdepan Keghairahan DAP Tawan Johor

KLUANG : Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Md Jais Sarday berkata, UMNO Johor sama sekali tidak gentar berhadapan dengan ‘kata dua’ pembangkang yang diketuai oleh Dap untuk menawan kubu kuat UMNO iaitu Johor.

Jelasnya, UMNO Johor adalah tiang seri dan sebagai penanda aras parti, maka tidak mungkin ahli UMNO di negeri ini akan membiarkan cita-cita Dap untuk bermaharajalela di negeri kelahiran UMNO.

Oleh itu jelasnya, sesuatu harus dilakukan segera agar hasrat pembangkang ini tidak sama sekali menjadi kenyataan.

“Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang UMNO bakal berhadapan dengan pembangkang yang bukan lagi seperti dahulu. Mereka semakin agresif untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

“Maka sebagai langkah terbaru menghadapi tekanan daripada pembangkang, UMNO Johor akan mengadakan satu seminar memperkasa perjuangan UMNO dan memahami pemikiran pendiri bangsa 9 dan 10 Oktober akan datang.
johor kubu bn
“Sasaran peserta adalah ahli jawatankuasa bahagian dan sayap yang berkelulusan diploma ke atas.

Mengapa sasaran begini dikenakan? Ini kerana kita mahu mereka golongan cendiakawan ini mempunyai platform untuk mencurahkan pandangan dan kita sendiri dapat menggunakan kebijaksanaan mereka dengan baik bagi membantu parti,” ujarnya dalam wawancara khas bersama pihak media.

Tambah Jais yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Kluang, antara input penting yang akan ditekankan adalah memahami ideologi perjuangan parti. Mereka yang ingin memberikan pandangan juga harus terlebih dahulu memahami ideologi perjuangan parti agar tidak lari daripada landasan yang sebenar.

“Dulu UMNO ditubuhkan atas dasar ingin perjuangkan bangsa dan merdekakan tanah air. 

Hari ini kita telah merdeka dan perjuangan kita sekarang ini adalah apa yang termaktub dalam perlembagaan iaitu memelihara agama, bangsa dan tanahair.

“Maka ideologi ini perlu dipegang. Mereka yang menjadi pendokong dan pemimpin dalam parti perlu memegang perkara ini dengan kuat.

“Sebab itu dalam seminar ini kita akan tekankan berkaitan ideologi dan memahami pemikiran pendiri bangsa. Kita mahu melihat pemikiran pemimpin-pemimpin dahulu sehingga boleh merdekakan negara ini sehingga maju seperti sekarang,” ujarnya lagi.

Selain itu jelas beliau, persoalan bagaimana UMNO akan terus relevan, bukan hanya sebagai parti yang memperjuangkan orang Melayu tetapi dalam masa yang sama memimpin bangsa yang lain juga akan turut diperbincangkan secara serius.

“Yang berada di hadapan kita seolah-olah ada pihak yang beria-ia mahu menumbangkan kerajaan sedia ada dengan melemparkan pelbagai fitnah.

“Jadi kita harus bincangkan bagaimana nak jadikan UMNO bukan sahaja kepada orang Melayu tetapi kepada semua masyarakat.

“Dengan ini, UMNO tidak akan ketandusan cendiakawan dan pelapis yang bakal menjaga parti dengan baik demi anak cucu kita,” terang beliau.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment