Thursday, September 24, 2015

Mesej PM Sempena Aidiladha... Bersatu Pertahankan Perlembagaan Negara

Ini mesej khas Perdana Menteri kepada umat Islam di negara ini sempena Hari Raya Aidiladha, Khamis.... mesej beliau terang dan jelas iaitu mingingatkan sudah tiba masanya umat Islam di negara ini bersatu dan berganding bahu tanpa mengira fahaman politik demi Islam dan masa depan ummah.

Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkata berkata mereka perlu bersama-sama mempertahankan keamanan dan Perlembagaan Negara, yang cuba dicabar oleh pihak tertentu.

Sikap berpuak-puak, katanya akan hanya melemahkan perpaduan umat Islam dan boleh menggadai kuasa dan maruah yang ada.

"Kita juga mesti bersikap sederhana dalam segala hal dan tidak melampaui batas sebagaimana digariskan ajaran Islam," katanya.

Perutusan Perdana Menteri disiarkan melalui blognya, NajibRazak.Com, di Facebook dan akaun Twitternya, Rabu.

Dengan mengambil semangat tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, iaitu 'Sehati Sejiwa', beliau berkata umat Islam hendaklah bersedia berkorban, bersepakat dan menyatakan kesepaduan terutama dalam soal akidah, syariah dan akhlak.

"Jangan sesekali bekerjasama dengan pihak yang ingin menjadikan kita sebagai jambatan untuk mencapai hajat dan matlamat mereka, sehingga memporak-perandakan negara," katanya.

Najib berkata dunia Islam melihat Malaysia sebagai istimewa dan model terbaik pembangunan sebuah negara Islam, oleh itu umat Islam harus bersatu padu dan memelihara perpaduan masyarakat berbilang bangsa di negara ini bagi menjamin kestabilannya.

Islam mengajar erti keamanan, perpaduan dan kesaksamaan dan sehubungan ini umat Islam hendaklah menghormati agama lain untuk mewujudkan keharmonian hidup bermasyarakat dan bernegara, katanya.

Dalam perutusan tersebut, beliau turut merakam ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dengan insiden menyayat hati kren tumbang di Masjidil Haram.

"Semoga seluruh ahli keluarga diberi kekuatan dan kesabaran atas ujian yang menimpa. Semoga Allah SWT mengurniakan sebaik-baik ganjaran," katanya.

Sempena Hari Raya Aidiladha, Najib meminta umat Islam di negara ini menghayati hari yang agung itu dan menjadikannya iktibar dalam kehidupan.

"Sama-samalah kita berusaha menzahirkan erti pengorbanan dalam setiap tindak tanduk harian menyahut seruan Allah dan Rasul-Nya dalam memenuhi tuntutan iman dan takwa yang kita akui," katanya. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment