Thursday, September 24, 2015

Himpunan : Annuar Musa, Ali Rustam Akan Jumpa PM Oktober Ini

Empat belas resolusi yang digariskan pada Himpunan Rakyat Bersatu di Padang Merbok minggu lepas, akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selewatnya awal Oktober ini.

Pengasas Yayasan Kemiskinan Kelantan Tan Sri Annuar Musa berkata resolusi itu sudah siap, namun pihaknya masih dalam proses kemaskini dan akan turut melampirkan lain-lain data seperti gambar semasa perhimpunan sebagai rujukan.

"Mempertahankan demokrasi luhur dan memupuk perasaan hormat bangsa Malaysia merupakan antara 14 resolusi yang telah digariskan semasa perhimpunan berkenaan pada 16 September lalu.

"Selain itu saya dan Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Tan Sri Mohd Ali Rustam dan beberapa penganjur akan berkunjung antaranya ke pejabat Perdana Menteri dan Speaker untuk menjelaskan mengenai perhimpunan itu," katanya pada sidang akhbar Rabu.

Sementara itu beliau turut menegaskan bahawa penganjuran Himpunan Rakyat Bersatu bukanlah atas arahan Perdana Menteri sebaliknya dianjurkan Pesaka untuk menunjukkan rasa kecewa terhadap penganjuran Perhimpunan Bersih 4.0 pada 29 dan 30 Ogos lepas.

"Perdana Menteri tidak pernah suruh anjur perhimpunan malah sebut berkali-kali secara konsisten agar tidak melanggar undang-undang, jangan sentuh sensitiviti perkauman.

"Perhimpunan itu bukan sesuatu yang perkauman, malah berjaya dilakukan dalam keadaan yang harmoni dan terkawal. Selepas perhimpunan ini, 'suhu' sudah turun dan tidak usahlah kita membakar lagi," Annuar. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment