Thursday, September 24, 2015

Terkini ! 717 Jemaah Maut Dan 805 Lagi Cedera Akibat Insiden Rempuhan Di Mina

Sekurang-kurangnya 717 orang terbunuh dalam rempuhan di Mina, Mekah. Pihak pertahanan awam Arab Saudi melaporkan, jumlah kematian kini didapati terus meningkat.

Jurucakap pertahanan awam Saudi berkata, sekurang-kurangnya 805 jemaah lain cedera dalam rempuhan di pinggir kota suci Mekah tersebut.

Mangsa yang cedera telah dipindahkan ke empat buah hospital berbeza di kawasan Mina, menurut jurucakap pertahanan awam itu.

Mina adalah kawasan di mana jemaah menjalankan upacara melontar iaitu simbolik kepada merejam syaitan dengan membaling batu-batu kecil terhadap tiga dinding batu. Ia juga menempatkan lebih daripada 160,000 khemah di mana jemaah bermalam selama ibadah haji.

Pihak jurucakap media pula melaporkan, kejadian itu berlaku di jalan antara kem jemaah haji.

"Jalan yang mana kejadian tersebut berlaku dinamakan Jalan 204. Rempuhan ini tidak berlaku di tapak 'melontar syaitan' tetapi sebaliknya berlaku di kawasan sepanjang jalan tersebut."

"Semasa dan selepas rempuhan, jemaah terus berduyun-duyun ke Mina untuk menunaikan ibadah melontar."

Ketua Jawatankuasa Haji Pusat, Putera Khaled Al-Faisal pula menyalahkan "sesetengah jemaah dari pelbagai negara Afrika" sehingga menyebabkan rempuhan.." lapor saluran TV Arab, al-Arabiya.

Pihak berkuasa Iran pula melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 43 warga Iran terbunuh dalam rempuhan terbabit.

Kira-kira 4,000 individu daripada perkhidmatan penyelamat dikerahkan menyertai operasi untuk membantu mangsa yang cedera dan kira-kira 220 buah ambulans telah diarahkan ke tempat kejadian. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment