Thursday, September 24, 2015

Tabik Pada Imam Yang Kena Tampar

Antaranya kisah bagaimana kami murid-murid darjah satu menderma RM1 dalam 20 ansuran sebagai sumbangan untuk pembinaan masjid itu.

Saya sebut betapa cantiknya jika amalan begitu dihidupkan kembali. Walaupun hanya RM1 ia mengekalkan rasa kesetiaan dan milik di kalangan umat sejak kecil. Cetusan itu sempena ulang tahun Masjid Negara ke-52 pada 27 Ogos lalu.

Saya juga menceritakan bagaimana girangnya saya melawat Masjid Negara pertama kali pada 1969, dua tahun selepas ia dibuka secara rasmi. Bayangkan berapa juta umat sudah sujud di Masjid Negara setakat ini, berapa juta manusia dari seluruh dunia yang kagum melihatnya dan entah berapa ramai lagi yang mendapat hidayah selepas melawatinya. Wallahualam.

Malah kawasan sekitar Masjid Negara juga beberapa kali menjadi tempat pendemonstrasi berkumpul.

Sesungguhnya, Masjid Negara, seperti masjid-masjid lain, adalah rumah ALLAH yang memberi ketenangan.

Tiba-tiba Jumaat lalu, Masjid Negara ‘meletup’. Ia menarik tumpuan seluruh negara dengan kes ‘imam kena tampar ketika imamkan solat Jumaat’.

Peristiwa yang menimbulkan tanda tanya pada awalnya itu menjadi viral tidak sampai dua jam selepas kejadian.

Suasana jadi kecoh selepas seorang lelaki warga asing tidak pasal-pasal bertindak menampar Imam II, Ustaz Mohd Zuhairee Mohd Yatim, ketika beliau baru mula membaca al-Fatihah.

Dia kemudian merampas pembesar suara, mengarahkan imam itu “You go back!” (anda ke belakang) dan mengambil alih tempat imam.

Keadaan jadi lebih kecoh ketika lelaki itu dibawa keluar ke kereta polis untuk ke balai polis. Nampak seperti marah-marah.

Apa pun saya tarik nafas lega kerana imam itu hanya kena tampar. Selain itu, saya tabik beliau kerana mampu kawal perasaan.

Saya tidak boleh bayangkan kalau imam hilang sabar, terus balas tamparan dan bergusti dengan lelaki itu atas sejadah dengan disaksikan ribuan jemaah.

Katanya, lelaki itu mengalami masalah mental, tetapi siapa tahu dia waras atau tidak ketika itu? Pasukan keselamatan juga patut menerima penghargaan kerana mampu mengawal keadaan. Kalau tidak, tidak mustahil dia menjadi lempeng.

Ini pertama kali di Masjid Negara, tetapi kes berkaitan imam diserang sudah pernah berlaku, ada yang hingga membawa maut pun.

Ingat cerita seorang imam yang maut dipukul dengan senjata tumpul oleh lelaki kurang siuman ketika menunaikan solat sunat Subuh di madrasah Kampung Gual Petai Lima, Tanah Merah, Kelantan, pada November 2012?

Barangkali, pihak pengurusan masjid, terutama yang besar-besar, mahu memikirkan sekarang kaedah lebih berkesan untuk melindungi keselamatan imam ketika mereka mengimami solat.

Ia bukannya sesuatu yang mudah sebab ketika mendirikan solat semua jemaah perlu khusyuk. Imam apa lagi?

Kalau waktu lain, mungkin pengawal boleh solat kemudian, tetapi kalau solat Jumaat mereka perlu solat bersama. Apakah boleh mendapatkan khidmat pengawal bukan Islam untuk solat Jumaat? Wallahualam.

Ketika menerima berita kejadian di Masjid Negara itu, perkara pertama yang terlintas di fikiran saya adalah tentang peristiwa yang sangat menyayat hati yang berlaku kepada beberapa sahabat Rasulullah SAW, khususnya tiga daripada empat Khalifah ar-Rasyidin, iaitu Saidina Umar al-Khattab RA, Saidina Osman bin Affan RA dan Saidina Ali bin Abi Talib KW.

Ada dua pendapat mengenai kewafatan Khalifah pertama, Saidina Abu Bakar as-Siddiq. Ada yang kata sebab keracunan dan ada yang mengatakan baginda wafat secara biasa.

Tetapi ketiga-tiga lagi khalifah wafat selepas diserang musuh Islam ketika menunaikan solat atau mengaji al-Quran.

Saidina Umar ditikam dengan pisau dua mata oleh hamba Majusi, Fairuz @ Abu Lu’luah, ketika baginda mengimami solat Subuh. Ketika cuba melarikan diri, si pengecut itu menikam 13 jemaah, sembilan daripada mereka meninggal, sebelum membunuh diri sendiri kerana
takut dengan jemaah yang menangkapnya.

Saidina Osman ditetak oleh pemberontak ketika membaca al-Quran dan Saidina Ali ditetak ketika solat sunat Subuh.

Saidina Osman wafat ketika berusia 82 tahun, sementara tiga khalifah lagi itu wafat pada usia sama dengan Nabi SAW, iaitu 63 tahun.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment