Saturday, September 19, 2015

Pemberian Kuasa Dapat Percepatkan Kes Pendakwaan – Hakim

TELUPID : Pemberian kuasa kepada Pegawai Undang-Undang Negeri di Sabah dan Sarawak akan membantu mempercepatkan proses pendakwaan bagi kesalahan-kesalahan di bawah ordinan negeri.
Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum berkata Pegawai Undang-Undang Negeri lebih arif berkaitan kesalahan di bawah ordinan negeri dan mempunyai kelebihan mengendalikan kes berkenaan.
“Misalnya, pendakwaan terhadap kes berkaitan hidupan liar di bawah undang-undang ordinan negeri boleh dipercepatkan jika fungsi pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Undang-Undang Negeri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Majistret (Litar) Mahkamah Bergerak Daerah Telupid, di sini, hari ini.

Rabu lepas, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengumumkan Pegawai Undang-Undang Negeri akan diberi kuasa oleh Pendakwa Raya di bawah Kanun Acara Jenayah untuk menjalankan kuasa pendakwaan bagi kesalahan di bawah ordinan negeri.
Perdana Menteri berkata demikian semasa menggariskan keputusan pelaksanaan prinsip penurunan kuasa secara berperingkat kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak pada sidang media selepas merasmikan bangunan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment