Monday, September 07, 2015
Ahli Parlimen Amanah Sedia Undi Tolak Hudud Ikut Konsensus, Kata Mat Sabu
Bekas ahli Parlimen PAS, yang kini menyertai parti baharu Parti Amanah
Negara (Amanah), sedia mengundi menolak rang undang-undang hudud di
Dewan Rakyat, sekiranya ia merupakan keputusan konsensus pembangkang,
kata pengerusinya Mohamad Sabu.
Katanya, pendirian mereka akan bergantung kepada konsensus yang dicapai
antara Amanah dan rakan lain dalam gabungan parti pembangkang yang akan
ditubuhkan kelak, katanya.
"Kami akan berunding dengan rakan dalam gabungan terlebih dahulu," kata Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu.
"Kalau mereka kata 'Tidak', maka kami tidak akan menyokongnya," katanya
di Kuching, Sarawak hari ini ketika ditanya pihak media pendirian parti
itu mengenai hudud.
Beliau berkata demikian pada majlis memperkenalkan Amanah, kumpulan serpihan parti Islam PAS, di negeri itu hari ini.
Beliau berkata, pendirian parti itu mengenai hudud akan dibuat
berdasarkan proses perundingan, pendekatan demokrasi dan peruntukan yang
termaktub di bawah Perlembagaan.
“Kami akan bincangkan dengan rakan kami. Kita tak boleh paksa hudud atas
rakyat sekiranya majoriti mereka, Islam dan bukan Islam, tidak
bersetuju dengannya.
"Dan kita tak boleh paksa pelaksanaannya sekiranya ia bertentangan dengan perlembagaan," kata Mat Sabu.
Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Mujahid Yusof Rawa bagaimanapun
berkata, beliau tidak percaya rang undang-undang itu, yang cuba dibawa
sebagai rang undang-undang persendirian oleh Presiden PAS Datuk Seri
Abdul Hadi Awang, akan berjaya dibentangkan di Dewan Rakyat.
Hadi berusaha membentangkan rang undang-undang itu bagi membolehkan
Kelantan, yang meluluskan enakmen jenayah Islam di Dewan Undangan Negeri
pada Mac, melaksanakan hukuman hudud di negeri di bawah teraju PAS itu.
"Terlalu jauh dari realiti walaupun untuk bercakap mengenai kemungkinan
mengundi untuknya. Ia masih belum melalui proses yang sewajarnya.
"Rang undang-undang itu masih dengan Speaker. Ia malah tidak dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja untuk mereka membincangkannya.
"Raja-raja mempunyai bidang kuasa ke atas hal ehwal agama (Islam) dan
mereka perlu menyokongnya," kata Mujahid kepada perhimpunan di Kuching
itu.
Beliau juga menyifatkan pembentangan rang undang-undang oleh Hadi itu
sebagai "mengarut", menggelarkannya "tipu helah politik Barisan Nasional
(BN) untuk memecahkan Pakatan Rakyat (PR)".
"Hadi ditipu. Beliau diperdaya untuk masuk dalam perangkap BN yang
hendak memecahkan PR," kata Mujahid, anak kepada salah seorang bekas
presiden PAS terdahulu.
Gabungan pembangkang PR hancur awal tahun ini kerana isu hudud di
Kelantan dan penolakan DAP terhadap cara unilateral Hadi dalam bertindak
dan membuat keputusan.
PAS juga secara rasmi mengesahkan memutuskan hubungan dengan DAP pada muktamar agung tahunan parti itu pada Jun.
DAP sedari dulu menentang pelaksanaan undang-undang Islam itu dan
menuduh PAS melanggar dasar rangka kerja yang dicapai PR pada 2011, di
mana semua pihak dalam gabungan itu bersetuju hudud bukan agenda
bersama.
Fidzuan Zaidi, bekas ahli exco PAS Sarawak, dipilih sebagai pengerusi Amanah di negeri itu.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment