Tuesday, September 08, 2015
Bila PDRM Nak Ambil Tindakan Pada Abdul Hamid??
EDITOR MENULIS...
7 SEPTEMBER 2015
Saya tidak tahu tentang jumlah sebenar bilangan kakitangan awam
kerajaan yang bertugas di seluruh negara mahupun yang berkhidmat di luar
negara. Namun penulis yakin jumlahnya mungkin berjuta orang. Mungkin
sejuta, dua juta atau tiga juta, namun yang pastinya sangat ramai...
Di zaman sekarang yang serba macam-macam, khususnya dengan keaktifan
tinggi penglibatan media sosial di kalangan rakyat Malaysia yang sangat
tinggi, penulis yakin ramai juga kakitangan awam di negara kita yang
teruja mahu menjadi 'keyboard warrior'.
Lebih hebat lagi, mungkin mahu mempopularkan diri, ada yang sanggup
memberikan kenyataan terbuka kepada media tentang maklumat-maklumat
sulit kerajaan dalam 'versi' mereka sendiri. Tidak kiralah 'versi'
mereka itu tepat atau tidak, yang penting mereka hebahkan juga...
Perangai sebegitu dilihat semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.
Tidak kira sama ada masih bertugas sebagai penjawat awam atau sudah
pencen, mereka sesuka hati berbuat demikian, kononnya demi agama, bangsa
dan negara. Itulah yang mereka katakan bila disoal tentang sebab mereka
melakukan pendedahan 'berani mati' itu.
Namun, benarkah ianya dibuat demi 'agama, bangsa dan negara'? Atau ada 'udang di sebalik mee maggi?
Setahu sayalah, semua penjawat awam di negara ini meskipun hanya
berjawatan pekerja am atau tukang kebun hinggalah ke tahap Ketua
Setiausaha Negara, semuanya tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1970 atau
lebih dikenali sebagai OSA.
Dalam erti kata mudah, tidak kira sama ada bekerja sebagai guru,
tentera, polis, kastam, imigresen, maritim, penguatkuasa dan sebarang
pekerjaan yang melibatkan 'makan gaji' dengan kerajaan Malaysia, mereka
terikat dengan peraturan dan disiplin berkenaan.
Malah, penguatkuasaan akta tersebut difahamkan bukan saja tertakluk
ketika mereka masih memegang jawatan sahaja, malah ianya turut
dikuatkuasakan seumur hidup sebagaimana mereka menerima duit pencen dari
kerajaan pada setiap bulan.
Itu komitmen yang mereka persetujui dan tandatangani ketika memulakan
kerjaya mereka bersama kerajaan. Itu sumpah dan ikrar yang perlu mereka
junjung hingga ke mati. Agak besar komitmen tersebut, namun itulah
hakikat yang mereka peroleh di sebalik pelbagai keistimewaan yang
kerajaan berikan pada mereka. Adil dan setimpal, bukan?
Namun malang, akhir-akhir ini ada pula yang seolah-olah sengaja cuba mencabar OSA dan ketegasan kerajaan dalam isu ini.
Sebagai contoh, bekas Timbalan pengarah Cawangan Khas PDRM, Datuk Abdul
Hamid Bador mempertikaikan arahan pertukaran tugas beliau merupakan satu
pelanggaran disiplin yang serius dan sangat memalukan Polis Di Raja
Malaysia (PDRM).
Tidak puas hati dengan pertukaran jawatan terhadapnya itu, dia telah
mencetus pelbagai persoalan yang memalukan pihak berkuasa itu, sekaligus
mencemar nama baik institusi kepolisan di negara kita. Kononnya dia
mendedahkan fakta, tapi fakta tersebut dimanipulasi pula mengikut
persepsinya sendiri? Wajarkah?
Pada pandangan saya, sekiranya Abdul Hamid tidak mahu ditukar ke
mana-mana jawatan atau lokasi bertugas, sepatutnya dia tidak menyertai
PDRM dari awal. Mungkin beliau sesuai bekerja sendiri di mana dia boleh
memegang sebarang jawatan dan bekerja di mana saja sesuka hatinya,
bukan?
Abdul Hamid tidak wajar marah atau tidak berpuas hati jika ditukar.
Organisasi PDRM bukan sebuah 'syarikat sendirian berhad' miliknya. Ia
merupakan sebuah organisasi bebas yang digajikan pihak kerajaan untuk
menjaga keselamatan di dalam negara.
Melihat tindak-tanduk Abdul Hamid yang jelas bertindak tidak mengikut
disiplin, melanggar peraturan dan tatatertib pihak berkuasa itu, penulis
menyimpulkan bahawa dia sebenarnya tidak layak lagi untuk bersama PDRM,
apatah lagi berjawatan tinggi dalam pasukan Cawangan Khas.
Setahu saya, setiap anggota Cawangan Khas yang fokus utamanya ialah
membuat aktiviti risikan, mereka sangat berdisiplin dan memegang teguh
prinsip kerahsiaan tugas. Malah, pada anak isteri mereka pun mereka
berahsia.
Prinsip sedemikian adalah sangat bertentangan dengan tindakan Abdul
Hamid yang begitu celupar membuat kenyataan secara terbuka terutama di
media. Tidakkah dia merasa dirinya telah mengotorkan prinsip yang
dijunjung setiap anggota Cawangan Khas itu?
Pada pandangan saya sekiranya perkara seperti ini dibiarkan, maka
masyarakat akan memandang rendah pada setiap anggota Cawangan Khas di
mana mungkin mereka bakal dituduh senang membocorkan rahsia risikan
pihak berkuasa dan dicurigai ketelusan mereka.
Soalnya, siapakah yang tidak menjaga nama baik dan membela institusi
kepolisan di negara kita? Jika ditanya pada Abdul Hamid, sudah tentu dia
akan menuding jari pada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Namun jika ditanya pada KPN dan seluruh anggota Cawangan Khas, saya
yakin bahawa majoriti mereka akan mencebik bibir pada Abdul Hamid...
Justeru itu, saya menyarankan kepada Abdul Hamid supaya menunjukkan contoh yang baik sebagai pegawai atasan PDRM.
Benarlah kita semua bekerja demi agama, bangsa dan negara. Namun apakah
dengan meluahkan ketidakpuasan hati ditukar ke jabatan lain maka ia
dianggap sebagai demi 'agama, bangsa dan negara' lagi? Pada saya, itu
namanya demi 'kepentingan diri sendiri', bukan?
Namun pada saya, sekiranya Abdul Hamid terus menerus berkelakuan
tidak wajar dan kebudak-budakan seperti itu lagi, sewajarnya pihak PDRM
mengambil tindakan tegas terhadapnya sebagai pengajaran untuk semua
anggota pihak berkuasa itu untuk berlaku adil dengan tugas dan amanah
yang mereka galas...
Bersama-samalah kita fikirkan...
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment