Thursday, September 03, 2015

Kasihan Mukhriz Bila Dipaksa Bapanya Jadi MB Kedah..

EDITOR MENULIS...
2 SEPTEMBER 2015

Pada hujung minggu lalu, saya sempat meluangkan masa ke ibu negara dan bertemu dengan beberapa rakan di sana. Tidak pulang dengan tangan kosong, penulis mendapat cerita yang kurang enak tentang Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Saya akui, ketika PRU ke-13 yang lalu, terdapat sedikit rasa cemburu di hati saya apabila Kedah telah berjaya ditawan kembali oleh Barisan Nasional (BN), apatah lagi negeri itu turut menerima 'bonus' apabila Mukhriz 'dipilih' sebagai Menteri Besar yang baru di sana.

Rasa bersemangat untuk melihat anak bekas Perdana Menteri itu memperbaiki Kedah yang dikatakan telah dirosakkan PAS selama 5 tahun. Bukan calang-calang Menteri Besarnya, Mukhriz Mahathir!

Rupa-rupanya, rakan saya mendakwa terdapat 'cerita di sebalik cerita' di sebalik perlantikan Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah...

Menurut rakan saya, sebelum berlangsung PRU ke-13, bapa kepada Mukhriz, Tun Dr Mahathir Mohamad telah bertemu dengan Presiden UMNO, Dato' Seri Najib Tun Razak dan berbicara mengenai masa depan Mukhriz.

Khabarnya, Tun M bersungguh-sungguh melobi dan mendesak supaya Mukhriz dipilih sebagai Menteri Besar Kedah sekiranya BN kembali merampas negeri berkenaan pada PRU ke-13! Lagipun, dikhabarkan bahawa peluang UMNO untuk merampas kembali Kedah ketika itu amat cerah sekali...

Mungkin selaku seorang anak didik Tun M, Najib yang menghormati permintaan dari bekas ketuanya itu dikatakan telah bersetuju untuk memenuhi kehendak Tun M tersebut walaupun beliau dikatakan sebenarnya telah merencanakan Mukhriz sebagai menteri penuh di dalam kabinetnya ketika itu.

Lain pula ceritanya tentang Mukhriz ketika itu. Beliau dikatakan sebenarnya enggan bekerja di Kedah dan jiwanya lebih terarah untuk berkhidmat sebagai Menteri di peringkat Kerajaan Pusat.

Lagipun, Mukhriz dibesarkan di sana dan bercita-cita besar untuk mendaki ranking jawatan tertinggi UMNO dan cita-cita politik itu dilihat lebih mudah untuk direalisasikan sekiranya beliau berada di peringkat Pusat.

Mahu tidak mahu, Mukhriz dikatakan terpaksa akur pada kemahuan Tun M, dan dengan berat hati pula Najib dikatakan telah melepaskan seorang 'permata' yang boleh diharap membantunya di barisan kabinet untuk bertugas di Kedah.

Saya agak teruja dengan cerita berkenaan. Benarkah cerita tersebut? Pada saya, hanya Tun M, Mukhriz dan Najib sahaja yang mampu mengesahkannya.

Pun begitu, saya merasakan bahawa tindakan Tun M yang menggunakan pengaruhnya untuk mencatur masa depan karier politik anaknya itu adalah satu tindakan yang tidak wajar sama sekali.

Bukannya Tun M tidak tahu dengan budaya politik UMNO di Kedah yang sememangnya amat sukar untuk difahami...

Dalam pengamatan saya, hampir semua Menteri Besar UMNO yang memiliki ijazah boleh dikatakan 'kecundang' di negeri itu. Tan Sri Sanusi Junid dahulu hampir kehilangan majoriti 2/3 di DUN Kedah dan Dato' Seri Mahdzir Khalid pula gagal mempertahankan Kedah hingga berjaya ditawan PAS.

Namun berbeza pula dengan Tan Sri Osman Arof dan Tan Sri Syed Razak yang dikatakan lebih memikat hati rakyat dan golongan pegawai pentadbir negeri walaupun kelulusan akademik mereka tidak seberapa.

Dikatakan Kedah tidak perlukan seorang Menteri Besar yang bergaya 'korporat' dan terlalu tinggi akademiknya. Tahap SPM sudah memadai asalnya beliau benar-benar 'orang Kedah' yang tidak tahu berlakon atau kekok dengan cara 'orang Kedah'.

Mungkin itulah yang berlaku pada Mukhriz sekarang. Beliau dikatakan tidak mampu mengawal Ketua-Ketua UMNO Bahagian. Bahkan sekiranya diadakan mesyuarat perhubungan UMNO Negeri sekalipun, ada saja yang 'malas' hadir dan jika hadir sekalipun, Mukhriz dilihat seolah 'takut' untuk membuat keputusan. Benarkah begitu Dato' Seri?

Sekiranya ada wartawan yang bertanya soalan sedemikian, mungkin Mukhriz tidak akan mengaku. Biasalah, itu adalah 'skill' politik. Namun begitulah desas-desus yang bertiup kencang mengenai kepimpinan Mukhriz dalam UMNO Kedah.

Apatah lagi Mukhriz dikatakan telah mengenepikan ramai 'orang lama' dan melantik 'geng' beliau yang masih muda dan lebih banyak merapu dari bekerja. Rungutan tentang ini boleh didengar dari pimpinan akar umbi UMNO sendiri, termasuk di Jerlun.

Berbalik pada percaturan Tun M itu, penulis merasakan bahawa beliau secara tidak langsung telah 'menganiaya' Mukhriz sehingga anaknya itu seolah-olah 'dibuli' oleh 'otai-otai UMNO' di Kedah. Amat merugikan sekali apabila potensi sebenar anaknya itu dipersia-siakan begitu saja.

Namun kini sudah agak terlewat untuk disesalkan. Mukhriz sudah lebih 3 tahun menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kedah yang 'lena', namun imej beliau baik dari sudut kepimpinan negeri itu dengan enam projek Mega yang masih lagi ditahap 'mimpi' atau 'angan-angan Mat Jenin'.

Pada pandangan saya, meletakkan Mukhriz di Kedah adalah satu pembaziran potensi kepimpinan negara. Beliau sepatutnya kini bergelar Menteri, bukan Menteri Besar di Kedah. Tapi itulah percaturan 'ayahanda' yang terpaksa beliau taat dan patuh.

Biarlah Mukhriz sepenggal ini di Kedah. Jika PRU ke-14 nanti BN tewas di Kedah, maka jelaslah Tun M adalah individu yang sewajarnya dipersalahkan kerana mencemar 'track record' anaknya sendiri. Kasihan Mukhriz. Itulah harga yang perlu beliau bayar bila ber'bin'kan Mahathir...

Disediakan oleh :
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgklxS8ZhkLuGe85CXOMjNT0Ib0ISZKTq__9yoM4BO-MfJkZ_pbYLEy0vzEAGDZnKeJ5faE7C8GKW2snw2rMkqTg-BB9g0JYRaCcHQUw1nTmuCY9Ru0J4IeT_V9aNFaSYCzelVAKP9E8lQ/s1600/Debat+2.jpg
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban

No comments:

Post a Comment