Saturday, September 19, 2015
Kata Hadi.... Tiada Tahaluf Siyasi Dengan AMANAH
KUALA LUMPUR : Pas tidak akan menjalin tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan Parti Amanah Negara (Amanah) yang ditubuhkan bekas pemimpin-pemimpinnya ekoran perbuatan mereka mengkhianati perjuangan parti itu.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, sikap bekas pemimpin atau ahli Pas yang mengkhianati perjuangan parti dianggap lebih teruk daripada pihak lawan.
Menurut beliau, Pas bersedia menjalinkan tahaluf siyasi dengan pihak lawan, namun tidak akan melakukan perkara yang sama terhadap pengkhianat parti.
“Orang yang khianat pada perjuangan tiada pilihan sama ada dia balik atau dia dihapuskan, dia bertaubat.
“Ini cara perjuangan Islam, tak boleh orang yang ada rekod khianat pada perjuangan, tak boleh sama sekali,” katanya menerusi rakaman video yang dikongsikan melalui laman Facebook rasmi Pas Pusat.
Rakaman video tersebut merupakan sedutan sesi soal jawab antara Abdul Hadi dan peserta program Mukhayyam Tarbawi Pas Kawasan Machang di Rusila, Terengganu pada 3 September lalu.
Dengan penegasan Abdul Hadi itu, terdapat kemungkinan Pas tidak akan menyertai pakatan pembangkang baru yang bakal dianggotai DAP, PKR dan Amanah yang dilancarkan di Shah Alam, Rabu lalu.
Beberapa pemimpin parti pembangkang kini sedang berusaha untuk membawa masuk Pas dalam pakatan pembangkang baru yang bakal dibentuk terutama bagi memastikan tiada pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya umum kelak.
Abdul Hadi menambah, pendirian Pas itu adalah selaras dengan tindakan Nabi Muhammad SAW yang tidak memberi peluang kepada golongan yang mengkhianati perjuangan Islam.
Abdul Hadi menambah, kumpulan serpihan yang dianggap pengkhianat itu boleh digelar sebagai oportunis sekiranya mereka menawarkan untuk mengadakan tahaluf siyasi dengan Pas.
“Mereka nak cari peluang, bukan atas hasrat perjuangan Islam yang kita letakkan ini,” jelasnya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment