Saturday, September 19, 2015

Mohd Amar Yakin PAS Kelantan Tidak Sertai Amanah

KOTA BHARU : Naib Pre­siden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yakin wakil rakyat dan pemimpin Pas dari negeri ini tidak akan mengkhianati parti dengan menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas negeri berkata, dakwaan kononnya terdapat wakil rakyat dari negeri ini akan menyertai Amanah hanya khabar angin atau perang saraf daripada pihak lawan dengan niat ingin membuktikan mereka mempunyai sokongan.

Bagaimanapun, katanya, tindakan tersebut sama sekali tidak akan menggentarkan Pas sebaliknya beliau percaya ahli serta penyokong parti tersebut tetap setia bersama parti Islam itu.

“Sekarang parti itu (Amanah) pun tidak ada lagi, kita juga tidak pasti sama ada Amanah ini wujud atau tidak memandangkan penubuhannya melibatkan soal undang-undang dan kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS).

“Mereka mendakwa mendapat sokongan, namun parti pun tiada lagi, sekarang yang ada Parti Pekerja Malaysia (Parti Pekerja). Kita kena tengok dahulu, dia (Amanah) kena pastikan ia wujud terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Malaysia peringkat negeri di pekarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan seorang pemimpin Amanah Kelantan baru-baru ini bahawa 10 wakil rakyat Pas di negeri ini akan menyertai parti itu dalam tempoh terdekat.

Sebelum itu, Pengerusinya, Mohamad Sabu turut mendakwa ramai wakil rakyat dan pemimpin Pas di seluruh negara termasuk dari negeri ini akan menyertai parti itu.

Bekas Timbalan Presiden Pas itu berkata, bagaimanapun hasrat tersebut terpaksa ditangguhkan seketika kerana terdapat beberapa halangan serta kekangan terutama apabila wakil rakyat terbabit terikat dengan bai’ah di negeri masing-masing.

Sementara itu Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, beliau yakin 10 wakil rak­yat yang didakwa akan menyertai Amanah itu masih setia dengan Pas dan tidak mudah untuk melompat parti kerana masing-masing terikat dengan bai’ah yang pernah dilafazkan sebelum ini.

“Kita tidak akan terpengaruh dengan dakwaan ini. Saya percaya dengan rakan-rakan saya di Kelantan, tidak perlu panggil, sebab kita kenal semua mereka dan kita tahu mereka akan kekal bersama kita,” katanya. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment