Sunday, September 06, 2015
Kerajaan Tanggung 100 Peratus Urusan Penyelenggaraan Fasiliti PPR
KUALA LUMPUR : Kerajaan akan memansuhkan caj 10 peratus yang dikenakan
kepada penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi urusan
penyelenggaraan yang melibatkan aspek keselamatan seperti lif, pengadang
dan pendawaian.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk
Abdul Rahman Dahlan berkata justeru, kerajaan akan menanggung sepenuhnya
100 peratus kos penyelenggaraan bagi mengurangkan bebanan penduduk di
kawasan kos rendah itu.
"Dasar sedia ada bertujuan supaya golongan penduduk mempunyai rasa
'pemilikan', maknanya kerajaan keluar 90 peratus dan 10 peratus lagi
ditanggung mereka agar mereka ada kesedaran dan keinsafan untuk
bersama-sama menjaga harta benda.
"Tetapi, apabila saya melihat semula dasar ini, ia tidak begitu relevan
kerana mereka di luar kemampuan sekiranya lif rosak. Jadi, kita tidak
lagi kenakan caj 10 peratus untuk perkara pembaikan yang melibatkan
aspek keselamatan," katanya selepas melawat PPR Wangsa Sari, Wangsa Maju
di sini Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya telah diberi peruntukan
sejumlah RM140 juta setahun bagi urusan penyelenggaraan fasiliti, namun
dasar caj 10 peratus itu telah mengakibatkan urusan terganggu akibat
kesusahan penduduk PPR untuk menyumbang dana yang diperlukan.
Bagaimanapun, Abdul Rahman berkata sekiranya urusan penyelenggaraan itu
melibatkan aspek keceriaan dan kebersihan seperti landskap, dewan serta
gelanggang futsal, maka dasar caj 10 peratus masih lagi diguna pakai.
Sementara itu, beliau berkata penubuhan Perbadanan Pengurusan Perumahan
Awam Negara (3PAN) dapat memastikan proses pengurusan penyelenggaraan
fasiliti PPR dapat dijalankan dengan lebih efisyen.
"Dengan adanya agensi berpusat ini, maka urusan pemantauan dan
perkhidmatan akan lebih tersusun dan efektif, serta memastikan Jabatan
Perumahan Negara dapat fokus kepada fungsinya untuk menguatkuasakan akta
yang berkaitan," katanya.
Pada Ogos lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah
mengumumkan penubuhan 3PAN bagi memantau proses pembinaan dan
penyelenggaran PPR.
Perbadanan itu akan mengambil dan menggantikan fungsi majlis daerah dan
pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menghadapi kekangan kewangan untuk
mengurus dan menyelenggara rumah-rumah tersebut.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment