Monday, September 07, 2015
MCA: DAP Gagal Fahami Sensitiviti Orang Melayu
DAP perlu bertanggungjawab di atas keangkuhan,
kesombongan dan keengganannya untuk memahami orang Melayu dan
menghormati agama Islam yang boleh menyebabkan perpaduan kaum berada
dalam keadaan goyah.
Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker
mendakwa, pemimpin dan ahli DAP gagal untuk memahami sensitiviti orang
Melayu dan menjadi penyebab ketegangan kaum semakin memuncak.
“Apabila pemimpin DAP mempermainkan pemimpin Melayu seperti Presiden
Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak, mereka tidak peduli perasaan dan kemarahan yang dirasakan
orang Melayu.
“Mungkin adab orang Melayu yang menuntut untuk tidak kurang ajar dan
bersabar menyebabkan pemimpin DAP berulang kali memperkecilkan pemimpin
Melayu yang lama-kelamaan boleh memercikkan api persengketaan antara
kaum,” dakwanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Ahli Parlimen DAP, Teresa Kok mengecam Lian Ker yang
disifatkan sebagai ‘mayat berjalan’ berikutan kenyataannya mengenai
Bersih 4.
Teresa berkata demikian apabila mendakwa Lian Ker mengulang mesej
tajuk berita Utusan Malaysia yang menggambarkan DAP mengawal perhimpunan
Bersih 4.0.
Dakwa Lian Ker, tindakan kurang ajar penyokong DAP di perhimpunan Bersih 4.0 tidak mewakili semua kaum Cina dalam negara.
“Apabila ada yang memijak gambar pemimpin Melayu di Bersih 4.0, orang
Melayu akan memandang serong kepada keseluruhan kaum Cina walhal mereka
hanya mewakili DAP.
“MCA tidak mahu insiden seperti 13 Mei berlaku lagi dan DAP perlu
bertanggungjawab terhadap segala hal menyebabkan ketegangan kaum yang
telah mereka wujudkan, bukan terus mengapi-apikan masyarakat Cina dengan
kemarahan untuk membenci kerajaan yang akhirnya akan menyebabkan
perpecahan,” dakwanya.
Dakwa Lian Ker, walaupun pernah tidak setuju dan mengkritik pemimpin
Pas mengenai polisi, beliau tidak pernah menggunakan serangan peribadi
untuk menghentam dan mempermainkan Presiden parti itu seperti yang
dilakukan DAP.
“Dalam politik, apabila emosi sedang memuncak, kaum dan agama akan
menjadi isu utama dan inilah yang digunakan DAP untuk mendapat sokongan
tanpa berfikir mengenai perpaduan kaum. Ini menunjukkan DAP gagal
sebagai parti yang kononnya memperjuangkan nasib pelbagai kaum,”
dakwanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment