Friday, September 18, 2015
Media Alternatif Kini Dianggap Media Arus Perdana Oleh Kebanyakan Orang – Salleh
KUALA LUMPUR : Apa yang sebelum ini, dikenali sebagai media
alternatif — Internet dan media sosial — kini dianggap sebagai media arus perdana oleh kebanyakan orang, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Beliau berkata, perpatah iaitu ‘apa sahaja yang dilaporkan melalui
Internet adalah kebenaran mutlak’, telah menggantikan kata-kata ‘jangan
percaya semua yang anda baca dalam Internet”.
“Apa yang boleh dianggap sebagai perang Internet atau perang media di
Malaysia telah diputarbelitkan melalui penglibatan blog dan media
asing.
“Rakyat Malaysia mempunyai persepsi bahawa apa-apa sahaja produk
asing atau diimport tentulah lebih baik daripada tempatan. Ini bukan
sahaja berkaitan barangan pengguna malah melibatkan berita,” katanya
dalam blognya hari ini.
Menurut Salleh, sebab itulah penerbitan asing seperti Sarawak Report dan Wall Street Journal dianggap sebagai tonggak kebenaran.
“Oleh kerana mereka berpangkalan di luar negara dan dikendalikan oleh
barat, maka apa yang mereka katakan hanyalah yang benar. Tiada siapa
meragui kebenaran laporan mereka, terutamanya kerana mereka berpangkalan
di barat dan rakyat asing,” katanya.
Salleh berkata ia merupakan satu strategi yang sangat bijak oleh
pihak yang ingin menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
dengan beralih kepada penerbitan asing untuk menjalankan kempen mereka.
“Jika cerita itu datang dari luar negara, maka ia mesti benar kerana
warga asing hanya melibatkan diri dalam kebenaran. Inilah sebabnya
mengapa ramai yang percaya bahawa Iraq menghasilkan senjata pemusnah
besar-besaran – kerana media barat berkata begitu,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, orang ramai mula menyedari bahawa
mereka telah ditipu dan cerita dusta itu bertujuan semata-mata untuk
menjatuhkan Iraq.
“Tiba masanya juga, ramai akan mengetahui bahawa tidak semua apa
yang dilaporkan media barat mengenai Najib adalah benar,” katanya.
Salleh berkata, sama seperti kes Iraq, orang ramai hanya mengetahuinya terlalu lambat dan selepas kerosakan telah dilakukan.
Beliau berkata, tidak dapat dinafikan bahawa Internet bukan sahaja
memainkan peranan penting dalam politik Malaysia sejak tujuh tahun
lepas, malah telah memainkan peranan lebih penting, hari ini.
Beliau berkata berdasarkan pilihan raya umum 2008, penganalisis
politik membuat kesimpulan bahawa Internet atau sosial media memainkan
peranan penting dalam mempengaruhi keputusan pilihan raya umum.
Malah, ketika itu jugalah Presiden Amerika Syarikat Barack Obama
menjawat jawatan Presiden dan keseluruhan kempen kutipan dana beliau
telah dilakukan melalui Internet, katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment