Friday, September 18, 2015
Zeti : Pertumbuhan Malaysia Kekal Tidak Terjejas
KUALA LUMPUR : Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti
Akhtar Aziz, amat yakin Malaysia akan terus mencatat pertumbuhan
meskipun ketika ini merupakan tempoh yang mencabar.
Bercakap dalam temu bual eksklusif dengan New Straits Times yang
diterbitkan hari ini, beliau berkata ekonomi negara kini lebih bersedia
untuk pulih daripada sebarang kelemahan yang dicetuskan oleh
perkembangan luaran memandangkan sistem kewangannya yang kukuh.
“Dunia kini mengalami ketidaktentuan bagi tempoh lebih daripada setahun.
“Sebenarnya, pembalikan dalam aliran modal bermula pada September
2014 walaupun begitu, kita berkembang antara empat dan lima peratus, ia
adalah sesuatu yang menggalakkan memandangkan dagangan dunia adalah
perlahan.
“Bank-bank kita masih memberi pinjaman. Aktiviti pemberian pinjaman oleh sistem perbankan tidak terjejas,” katanya.
Zeti turut menjelaskan keadaan ekonomi ketika ini jauh lebih baik berbanding situasi semasa krisis kewangan Asia 1998.
Beliau berkata akaun semasa Malaysia pada ketika ini mencatatkan
lebihan dengan paras rizab mampu untuk membiayai 7.4 bulan import
tertangguh manakala ketika krisis itu, ia mencatat defisit antara lima
peratus dengan paras rizab hanya cukup untuk menampung tiga bulan import
tertangguh.
Zeti berkata negara kini memiliki pasaran bon yang lebih berkembang, iaitu 110 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.
“Sebelum ini, ia hanya pada 35 peratus. Ini dapat mempelbagaikan
dan mengurangkan kesan ketidaktentuan ke atas sistem kewangan kita,”
katanya.
Beliau berkata Amerika Syarikat kini telah berada di landasan
pemulihan dan sebarang perubahan kadar faedah tidak akan menggagalkan
proses pertumbuhannya memandangkan asasnya semakin kukuh, tahap
pengangguran yang rendah dan perbelanjaan penggunaan yang tinggi.
“Ia akan menjadi positif untuk kita kerana negara itu merupakan
rakan dagangan kedua terbesar kita, bagaimanapun, ini adalah sukar
disebabkan persekitaran tidak stabil dalam pasaran kewangan antarabangsa ketika ini,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment