Sunday, September 06, 2015

PAS Masih “Bermuka Tembok”, Mahu Bersama DAP, Amanah Dan PKR?

Ahli Jawatankuasa Penaja Amanah, Hanipa Maidin, yang dilihat “tidak amanah” oleh ahli dan penyokong PAS ketika berada di dalam PAS baru-baru ini telah meluahkan rasa tidak bersetuju sekiranya bekas partinya itu dibawa masuk ke dalam gabungan gabungan parti pembangkang yang baru.

Kata Hanipa yang mewakili Amanah, PAS seharusnya bergerak secara solo dan tidak diterima untuk menyertai Pakatan Haram baru yang dijangka bakal ditubuhkan selepas parti barunya itu ditubuhkan secara rasmi pada 16 September ini.

Dalam kenyataannya, Hanipa turut memohon maaf kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini mengeluarkan kenyataan “play safe” dari penjara Sungai Buloh tentang kononnya turut menerima PAS dalam pakatan baru itu nanti.

Terbaru, Mat Sabu selaku Pengerusi Amanah menyatakan tentang rasa tidak sabarnya menanti tarikh 16 September untuk membentuk Pakatan Haram baru bersama DAP dan PKR, di mana dia menjelaskan tentang perbincangan tidak rasmi tentang gabungan terbaru pembangkang itu.

Sementara itu, DAP pula dilihat senada dengan Amanah, begitu tegar berpatah arang dengan PAS yang sebelum ini pernah menghina Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan gelaran “pengkhianat bersiri”, “tidak bermaruah” dan pelbagai lagi hinaan yang memalukan.
Dalam erti kata mudah, Amanah dan DAP tidak mahu PAS berada di dalam Pakatan Haram yang bakal di bentuk semula nanti. Manakala PKR pula berpeluang untuk menolak PAS dengan alasan dua parti di dalam gabungan itu menolak penyertaan PAS di dalam pakatan tersebut.

Soalnya, apakah pendirian PAS dalam hal ini? Apakah parti itu akan kembali dengan konsep “hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong”, tetap “bermuka tembok” mahu terus bersama DAP, Amanah dan PKR dalam gabungan baru itu?

Sebelum ini, PAS sememangnya sanggup “bermuka tebal”. Walaupun teruk “dikeldaikan” dan membiarkan diri menjadi “tunggangan” DAP dan PKR sejak tahun 2008, PAS tetap setia bersama Pakatan Haram.

PAS juga sebelum ini sanggup diperlaku seperti parti kelas ketiga, dibuli dan diperlakukan sesesuka hati walau menghiris hati ramai pemimpin, ahli dan para penyokong parti tersebut. Pengorbanan dan jasa PAS di dalam Pakatan Haram lama benar-benar tidak dihargai oleh DAP dan PKR.

Hasilnya dari sikap “muka tembok” PAS itu telah menyebabkan parti itu terbelah di dalamnya. Doktrinisasi Anwarinas dan DAP dilihat berjaya mengubah pendirian sebahagian pemimpin serta ahlinya untuk memegang konsep baru, “matlamat menghalalkan cara”. Biar menyimpang dari akhlak dan maqasid syariah, kerana politik dan kuasa, golongan progresif itu rela turutkan…

Hari ini PAS dilihat bagaikan “melukut di tepi gantang”. Meskipun “dipijak” maruah mereka dalam demonstrasi jalanan Bersih 4 baru-baru ini, mereka seolah masih lagi cuba “bermuka tembok” mengharapkan jemputan untuk menyertai Pakatan Haram baru.

Bila agaknya PAS hendak sedar diri? Terbelah dua dan hampir hancur PAS dikerjakan oleh puak-puak itu, PAS masih lagi bersabar dan bersikap bacul?

Pada pandangan saya, PAS harus lebih berani menongkah arus DAP, Amanah dan PKR. Golongan Ulama yang mengemudi PAS seharusnya berwatak seperti Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar Al-Khattab RadhiAllah Anhuma dalam menghadapi situasi “khawarij” dan “musyrikin” seperti itu.

Mereka perlu bertegas dengan pendirian parti dan tidak sewenang-wenangnya merendahkan lagi maruah yang dipijak dengan sikap “tunggu dan lihat”. Sebaliknya mereka harus bertindak menyatakan pendirian tegas dan adil, sejajar dengan konsep siyasah Islam yang sebenar.

Menyentuh isu bai’ah talak tiga atau hala tuju PAS yang telah dibersihkan dari ancaman “syaitan dalam jemaah’, Abdul Hadi dan kepimpinan parti itu harus berani mengeluarkan kenyataaan yang lebih berani dan melegakan para penyokongnya di peringkat akar umbi.

Saya bukanlah hendak mengajar PAS. Namun saya melihat PAS begitu goyah setelah agenda pembersihan berjalan lancar. Setelah dibersihkan dari ancaman dalaman, PAS harus dilihat vokal dan teguh dengan perjuangan asal, bukan kekal bersikap seperti sebelum dibersihkan, bukan?

Justeru itu, saya menggesa agar PAS bangkit sebagai sebuah parti pembangkang yang “sihat” dan tidak lagi “sakit dilanda virus jahat” seperti dulu. Buanglah semangat politik kebencian dan kembalilah kepada budaya politik yang dianjurkan Islam. Itu yang perlu PAS buat.

Pada DAP, Amanah dan PKR, pada pandangan saya, biarlah ketiga-tiga parti pembangkang itu dengan “labu-labunya”. PAS tidak harus menjerumuskan diri di dalam “tong najis” dan menyamak diri seperti sebelum ini. Harap PAS pertimbangkan saranan saya ini. Wallahu’alam. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment