Saturday, September 19, 2015

Pembangkang Seakan Cuba Jadi Tuli Untuk Melihat 14 Deklarasi Himpunan Rakyat Bersatu

SHAH ALAM : Seorang Pensyarah Universiti  Institut Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Mohd Hanafiah Harun membidas sikap pembangkang yang cuba melencong dan memperbesarkan perkara sampingan isu himpunan Rakyat Bersatu tetapi memekakkan telinga serta membutakan mata mereka untuk melihat perkara yang lebih besar iaitu 14 deklarasi yang menjadi matlamat perhimpunan tersebut.
Menurut beliau, perhimpunan Rakyat Bersatu itu merupakan hak orang Melayu untuk menyatakan rasa tidak puas hati dengan sikap dan pendekatan politik pembangkang, khususnya Dap yang amat gemar menjadikan isu-isu sensitif serta Islam dan bangsa Melayu untuk menjadi modal politik mereka.
“Bagi saya, pembangkang boleh kata apa saja tentang perhimpunan ini. Mereka cuba bangkitkan isu-isu remeh seperti perhimpunan ini mengotorkan Kuala Lumpur dan menjejaskan imej negara, tetapi mereka lupa dengan himpunan Bersih yang sebenarnya lebih banyak mencemarkan imej dan nama baik negara di mata dunia.
“Inilah apa yang dikatakan oleh pepatah Melayu Kaduk sudah naik ke junjung. Mereka hanya memikirkan hak mereka sahaja, tetapi mereka tidak fikir bahawa orang Melayu juga mempunyai hak sepertimana mereka mempunyai hak. Apakah mereka fikir hanya mereka saja yang boleh meluahkan rasa tetapi orang lain tidak boleh?
“Pihak pembangkang, khususnya Dap bukan sahaja hanya menghina pemimpin Melayu, malah lebih dari itu mereka sudah mula berani menghina Islam itu sendiri. Tidakkah mereka sedar bahawa isu agama bukan isu remeh yang boleh dijadikan modal politik untuk dijaja ke sana ke sini?
“Tidakkah mereka tahu sudah berapa banyak darah yang tumpah di seluruh dunia kerana isu agama? Atau mereka sebenarnya tahu tetapi sengaja mahu mencetuskan provokasi agar jadi tumpah darah di negara ini dengan menjadikan isu-isu sensitif seperti agama dan bangsa sebagai modal politik mereka?,” tegas beliau kepada pihak media di sini hari ini.
DSC_4993


















Beliau mengingat pihak yang suka memainkan isu-isu perkauman dan agama ini terutama Dap bahawa asas kewujudan negara Malaysia ini adalah sikap toleransi sesama kaum di dalam negara ini.
“Kita jangan lupa pada sejarah. Pemimpin Melayu dengan tangan terbuka memberikan kerakyatan kepada sejuta bukan Melayu sebagai tanda persahabatan antara kita. Malah, anak-anak bukan Melayu yang lahir selepas merdeka secara otomatik menjadi warga negara di negara ini.
“Orang Melayu langsung tidak membantah tentang hal ini walhal mereka boleh sahaja untuk menghalang perkara ini jika mereka mahu, sepertimana orang Melayu membantah perancangan British dalam isu Malayan Union. Jadi, himpunan ini merupakan satu mesej besar kepada puak cauvinis dan rasis khususnya di dalam Dap, agar berpada-pada dalam kata dan perbuatan, kerana sabar orang Melayu ada hadnya,”jelas beliau.
Justeru itu katanya lagi, pihak pembangkang mesti menghentikan sikap dan pendekatan politik kebencian mereka dengan menjadikan isu-isu agama dan kaum sebagai modal politik.
“Suka juga saya mengingatkan pembangkang janganlah menganjurkan lagi perhimpunan seperti Bersih yang sudah tercemar dan tersasar dari landasan asal mereka. Bersih 4 jelas merupakan satu himpunan yang amat kotor apabila perhimpunan tersebut dijadikan medan untuk mencaci maki dan menghina Islam serta pemimpin Melayu.
“Jika pembangkang mahu meneruskan juga himpunan seperti Bersih itu lagi, saya khuatiri akan ada tindak balas dari orang Melayu dan rakyat Malaysia yang tidak bersetuju dengan himpunan tersebut. Sekiranya pembangkang masih berdegil mahu meneruskan perhimpunan seperti Bersih itu, maka saya khuatiri perkara yang lebih buruk akan berlaku,”ujarnya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment