Monday, September 07, 2015
Tolak Hudud : PAS Sudah Jangka Tindakan Mat Sabu... Tak Boleh Pakai GHB Ni
SHAH ALAM : PAS sudah menjangka tindakan Pengerusi Parti Amanah Negara
(Amanah) Mohamad Sabu akan bersedia mengundi untuk menolak rang
undang-undang hudud jika parti Islam itu membentangnya di Parlimen pada
sidang bulan depan.
Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata 'penolakan'
terhadap hudud oleh Mohamad Sabu atau Mat Sabu itu sudah jelas
diperlihatkan melalui tindakan beliau keluar PAS dan menubuhkan parti
politik baru iaitu Parti Amanah bersama serpihan PAS yang lain.
"Itu sudah pendirian (Parti Amanah). Kalau dia (Mat Sabu) menerima hudud
sudah tentu masih bersama dengan PAS. Kita sudah jangka sebab dia
keluar pun sebab dia tidak setuju dengan hudud," katanya ketika
dihubungi Antarapos.com.
Semalam, Mat Sabu dipetik beberapa media tempatan sebagai berkata Amanah
sedia berunding dengan komponen pakatan pembangkang baru yang lain sama
ada membuat undian untuk menolak rang undang-undang berkaitan hudud di
Dewan Rakyat.
Katanya, pendirian parti itu mengenai hudud akan dibuat berdasarkan
proses perundingan, pendekatan demokrasi dan peruntukan yang termaktub
di bawah Perlembagaan.
Iskandar berkata, beliau tidak terkejut dengan kenyataan Mat Sabu itu yang jelas mencerminkan identiti sebenar Parti Amanah.
"Saya tidak terkejut. Itulah perkara-perkara kenapa mereka keluar daripada PAS."
Malah, kepimpinan PAS kini mula menolak apa jua kenyataan dan aktiviti
yang berkaitan dengan Parti Amanah dan lebih fokus kepada
masalah-masalah rakyat, katanya.
"Kita pun tidak layan sangat (Parti Amanah) ini. Jadi maknanya saya pun
tidak mahu komen sebab kita ada kerja-kerja yang kita perlu lakukan,
isu-isu rakyat. Saya biarlah dia (Mat Sabu) buat kenyataan dia. Sebab
kita ada banyak fokus kepada benda-benda lain lagi."
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada April lalu bertegas untuk
membentangkan rang undang-undang persendirian berkaitan hudud bagi
membolehkan hukum kanun jenayah Islam itu dilaksanakan di Kelantan.
Ketegasan PAS itu mengakibatkan hubungan PAS-DAP terputus sekali gus
menyaksikan gabungan Pakatan Rakyat (PR) berkubur, Jun lalu.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment