Wednesday, August 26, 2015

Pelajar IPT Yang Ikut Demonstrasi BERSIH Akan Kena Tindakan

Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor/Rektor Universiti-Universiti Awam, Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin dalam satu kenyataan berkata, penglibatan pelajar universiti dalam perhimpunan Bersih 4.0 yang dijadualkan diadakan pada 29 Ogos ini akan berdepan tindakan tatatertib mengikut akta dan prosedur universiti.

Menurut beliau, antara tindakan yang akan diambil terhadap pelajar terbabit ialah digantung pengajian atau dibuang daripada universiti.

 "Pelajar sewajarnya mengelak diri mereka diperalatkan oleh pihak-pihak tertentu atau pertubuhan yang tidak diiktiraf oleh kerajaan, sebaliknya menumpu kepada pengajian," katanya ketika diminta mengulas pembabitan pelajar universiti dalam perhimpunan itu.

Memetik laporan sebuah akhbar tempatan semalam, Kementerian Dalam Negeri mengesahkan Bersih 4.0 yang merancang menganjurkan perhimpunan di Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu pada Sabtu dan Ahad ini adalah pertubuhan tidak berdaftar.

Dalam pada itu, Kamarudin yang juga Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) turut menasihatkan pelajar supaya membuat rujukan daripada universiti masing-masing untuk mendapatkan maklumat tepat berhubung tindakan yang boleh diambil terhadap mereka sekiranya terbabit dalam demonstrasi jalanan seperti Bersih 4.0.

Jelasnya, dalam hal ini, pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sudah pun diingatkan sejak awal lagi dan melarang mereka menyertai sebarang demonstrasi yang berunsur politik.

 "Jabatan Hal Ehwal Pelajar UniMAP telah diarahkan sentiasa memberi maklumat berkaitan sebarang perhimpunan dan senario yang berlaku dalam negara serta memantau dan mengambil tindakan terhadap pelajar-pelajar yang melanggar akta universiti," katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment