Ahli Parlimen Lembah Pantai
Wednesday, August 26, 2015
Polis Semua Alat Kerajaan dan Tak Faham Demokrasi.. - Nurul Izzah
Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak polis menangkap 16 orang
mahasiswa malam semalam dihadapan bangunan Parlimen – sebuah mercutanda
simbolik institusi demokrasi negara kita. Lebih disesali apabila proses
tangkapan melibatkan salah seorang daripada mereka yang mengalami
kecederaan.
Tindakan pihak polis malam semalam sama sekali tidak menghormati hak
Perlembagaan yang telah termaktub dalam Artikel 10. Tambahan, tangkapan
mereka di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan adalah tidak munasabah sama
sekali.
Saudara Eric Paulsen berpendapat bahawa Seksyen tersebut seharusnya
dikhaskan buat teroris bersenjata seperti di dalam kes melibatkan
gerakan Al Maunah; bukan sekumpulan pelajar yang berkhemah sedang
membaca bahan ilmiah tanpa senjata di luar Parlimen!1
Parlimen adalah satu simbol demokrasi rakyat dan kini pihak penguasa
telah diarahkan untuk melanggar perlembagaan persekutuan di hadapan
badan legislatif negara – suatu tindakan yang mencemar prinsip demokrasi
Malaysia.
Kini sudah jelas kesemua institusi-institusi negara sudah dirobek. Saya
percaya kesemua mahasiswa itu hanya mahukan jawapan dan kebenaran
daripada Perdana Menteri Najib Razak; akan tetapi yang mengecewakan
jawapan yang diberikan ialah lokap dan tindakan agresif daripada pihak
polis.
Lebih malang lagi apabila insiden tangkapan dibandingkan dengan layanan
berat sebelah pihak berkuasa kepada demonstrasi bersenjata kumpulan
anti-Bersih yang diketuai oleh Jamal Md Yunos semalam di SOGO yang
memberikan ancaman keganasan kepada bakal peserta Bersih. Apakah ancaman
seperti ini tidak diambil berat oleh Polis dan pihak berkuasa?
Nurul IzzahSaya menganggap ini suatu komplot kerajaan untuk
menakut-nakutkan rakyat untuk tidak bangun bangkit menentang gejala
korupsi yang semakin parah ketika ini. Polis yang seharusnya menjadi
benteng mempertahankan rakyat, sebaliknya menjadi alatan tangan-tangan
tersembunyi untuk meneruskan agenda pemusatan kuasa. Ingin saya
mengingatkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya
berhenti menjadi alat pengongkongan demokrasi, dan berhenti memburu para
pengkritik kerajaan yang hanya menggunakan kebebasan yang telah
termaktub dalam Artikel 10, Perlembagaan Malaysia.
Pimpinan yang waras dan beretika akan cuba sedaya upaya meyakinkan
segenap masyarakat tentang apa saja perkara membangkit dengan cara
rundingan berhemah dan menurut semangat undang-undang yang murni.
Bukannya dengan kekerasan yang berlindung disebalik penguatkuasaan
undang-undang.
Insiden ini telah memberi satu isyarat kepada rakyat bahawa pada saat
yang getir ini rakyat perlu bersatu padu dan menyatakan hak mereka
kerana keadaan kini sudah semakin parah dengan ringgit yang jatuh
menjunam, kos sara hidup yang tinggi dan ekonomi yang tidak stabil.
Gesaan saya adalah supaya rakyat terbanyak jangan sia-siakan usaha awal
yang dimulakan oleh #LangkahSiswa ini! Mari sama-sama turun pada 29
haribulan ini untuk menuntut hak kita!
Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment