Sunday, September 06, 2015

5 Lagi Didakwa Kerana Sertai #KitaLawan

SHAH ALAM : Lima orang lagi, dua daripadanya wakil rakyat PKR, akan didakwa pada Selasa mengikut Akta Perhimpunan Aman kerana mengambil bahagian dalam perhimpunan #KitaLawan 21 Mac lalu.

Dua wakil rakyat PKR itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja Chang Lih Kang dan Adun Semambu Lee Chean Chung manakala yang lainnya aktivis Adam Adli Abd Halim dan Fariz Musa serta pembantu wakil rakyat Batu, Rozan Azen Mat.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(2)(c) akta tersebut, yang berkaitan dengan hak untuk menganjur atau menyertai perhimpunan di mana seseorang itu disifatkan melakukan suatu kesalahan jika dia menganjurkan atau menyertai suatu protes jalanan.

Terdahulu, tiga orang iaitu Ahli Parlimen Bayan Baru dari PKR Sim Tze Tzin, Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah dan aktivis Mandeep Singh dilaporkan akan dikenakan di bawah peruntukan sama kerana mengambil bahagian dalam satu lagi perhimpunan #KitaLawan pada 28 Mac.

PKR mengadakan siri perhimpunan #KitaLawan tahun ini bagi menyokong pemimpinnya yang dipenjara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga bagi menyeru peletakan jawatan Najib.

Pada 10 Februari, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan tahun lalu yang mendapati Anwar bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Anwar ketika ini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di penjara Sungai Buloh.

Perhimpunan #KitaLawan dihadiri kira-kira 10,000 orang pada 28 Mac, lebih daripada tiga perhimpunan sebelumnya yang hanya menarik beberapa ratus orang setiap kali. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment