Sunday, September 06, 2015

Baiah : Khalid Tunai "Kafarah" Briyani Kambing, Minta Pihak "Luar" Jangan Masuk Campur

SHAH ALAM : Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mahu pihak "yang tidak berkaitan" supaya menjauhi urusan beliau dan 11 lagi Ahli Parlimen dan ADUN PAS membuat kafarah.

Malam tadi Khalid memberi jamuan briyani kambing untuk 40 fakir sebagai kafarah kerana melanggar baiah PAS apabila menyertai Parti Amanah Negara.

Bekas Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor itu menegaskan baiah yang dipersetujui oleh beliau dan wakil rakyat lain dari parti itu adalah dengan Allah dan bukannya PAS.

"(Kenyataan) Mursidul Am PAS Datuk Dr Haron Din  kata sumpah dengan Allah, ianya sumpah kita buat dengan Allah. Lalu kalau ianya di antara kami dengan Allah, yang lain jangan campurlah."

"Biar kami serah kepada Allah untuk luluskan. Kami buat (kafarah) ini pun mengikut apa yang terkandung dalam al-Quran dan hadis," katanya.

Majlis semalam turut dianjurkan oleh Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud yang juga menyertai Amanah baru-baru ini.

Bagaimanapun beliau tidak hadir di majlis itu kerana berada di luar Selangor untuk urusan parti.

Khalid menegaskan majlis kafarah dianggap sahih apabila beramal untuk sekurang-kurangnya 10 fakir miskin.

Menurut Klhalid, tindakan beliau dan rakan-rakannya keluar daripada PAS tidak salah, lebih-lebih lagi kerana mereka kekal kepada prinsip Islam walaupun berlainan wadah politik.

"Kita terpaksa langgar janji (baiah) itu dan kita mengharapkan Allah akan terima (karafah kami) tapi ianya tidak mengurangkan rasa sedih kita. 

"Ini kerana kita terpaksa buat apa yang kita terpaksa buat, tapi dari sudut kewajipan kita terhadap Allah, kita mengharapkan ianya akan diterima dan segala yang terkandung dalam sumpah baiah itu, Allah akan tolak," kata Khalid.

Semalam, Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh mengesa supaya Khalid dan Dr. Mariah bertaubat dan kembali kepangkuan PAS.

Nasihat itu bagaimanapun ditolak oleh Khalid.

"Tak ada salahnya kami keluar dari PAS. Soal tanggungjawab kami sebagai Ahli Parlimen terus kami penuhi.

"Ada juga Ahli Parlimen yang tidak tunaikan tanggungjawab mereka dengan baik walaupun tak keluar parti. Saya merasakan bahawa bila kita menjadi Ahli Parlimen kita pun angkat sumpah dalam dewan itu bahawa kita akan berkhidmat untuk rakyat.

"Bagi saya, kami telah tunaikan tanggungjawab kami, kami tidak khianat pengundi-pengundi kami. Yang mana undi atas dasar Islam, kami tetap dalam landasan Islam dan yang mana mengundi atas dasar Pakatan Rakyat, kami tetap bersama Pakatan Rakyat,” kata beliau.

“Malah kami yang akan usaha untuk menghidupkan kembali Pakatan Rakyat 2.0.”

Selain Khalid, majlis berkenaan juga dihadiri melibatkan dua ahli Majlis Bandaraya Shah Alam iaitu Azli Yusof dan Mohd Jamil Abdul Rahim dari PAS yang kini bersama Amanah.

Amanah menyasarkan keahlian parti itu yang masih menunggu pendaftaran rasmi daripada Pendaftar Pertubuhan akan mencecah 35,000i menjelang 16 September depan.

Amanah dan DAP bertegas tidak mahu memperlawa PAS untuk menyertai Pakatan 2.0 manakala pendirian PKR masih samar-samar.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment