Sunday, September 06, 2015
Ada Wakil Rakyat PAS Ingin Sertai Amanah Tetapi Takut Langgar Bai'ah - Mat Sabu
SHAH ALAM : Bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mendakwa terdapat
kalangan wakil rakyat parti itu yang berhasrat menyertai perjuangan
Parti Amanah Negara (Amanah) kelak tetapi belum bersedia kerana masih
berasa takut tetapi terikat dengan bai'ah.
Namun katanya, kalangan mereka yang mempunyai pengaruh ini telah memberi
sokongan dan bantuan termasuk meminta para penyokong mendokong Amanah
yang dijadual bakal dilancarkan secara rasmi pada 16 September ini.
Beliau yakin tanpa isu yang menakut-nakutkan wakil rakyat, ramai
kalangan mereka akan bersama namun keadaan itu hanya akan lebih
menjejaskan PAS apabila timbul kemarahan umum, dan bukannya Amanah.
"Ada sedikit menakutkan untuk sertai, tetapi semua pemimpin wanita Islam
dan bukan Islam amat marah dengan bai'ah ini, dan kita harap semua
bersabar, bertenang dan terus istiqamah dalam perjuangan kali ini,"
ujarnya tanpa menamakan mereka.
Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Mohd. Hatta Ramli yang juga bekas Pengarah
Pilihan Raya PAS Pusat merupakan wakil rakyat pertama di Kelantan yang
meninggalkan parti itu bagi mengusahakan penubuhan parti baru, status
perkahwinan beliau dipertikaikan berdasarkan lafaz taklik yang disebut
dalam bai'ah.
Dalam bai'ah itu, setiap wakil rakyat PAS Kelantan yang mengambil
keputusan keluar parti tanpa melepaskan jawatan, secara automatik telah
menceraikan isteri masing-masing dengan talak tiga.
Ditanya isu yang masih menjadi polemik hangat, Mohamad Sabu sekali lagi
mengulangi persoalan yang perlu dijawab oleh ulama namun pandangan
pelbagai pihak termasuk ulama terkemuka Yusuf Al-Qardawi di samping
pandangan mufti Pulau Pinang dan Perlis turut diambil kira.
Katanya lagi, dalam usaha melancarkan Amanah yang diambil alih dan
dijenamakan daripada parti Pekerja, satu mesyuarat agung akan diadakan
pada 8 September ini yang antara lain akan menentukan simbol baru bagi
parti yang bakal dijadikan alternatif kepada PAS dalam pakatan
pembangkang.
Mat Sabu dalam pada itu menyasarkan keahlian Amanah akan mencapai 100,000 sehingga penghujung tahun ini.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment