Sunday, September 06, 2015
Jom Dengar Apa Katanya..... Mungkir Janji Demi Sesuatu Yang Lebih Baik - Siti Mariah
SHAH ALAM : Bertemu perjuangan yang lebih baik berbanding PAS, itu adalah
antara sebab Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Siti Mariah Mahmud terpaksa
melanggar perjanjian bai'ah yang pernah dilafazkan sebelum diangkat
menjadi wakil rakyat parti Islam Semalaysia itu.
Sehubungan itu kata Siti Mariah, beliau nekad meninggalkan PAS dan kini
berserah diri kepada Allah SWT, selain telah bertaubat dan membayar
kafarah dengan cara menjamu fakir miskin.
"Ya kita mungkir janji, tetapi kita terpaksa beralih kepada sesuatu yang
lebih baik. Hadis dalam kitab Sahih Muslim ada menyebut, barangsiapa
bersumpah tetapi bertemu perkara lebih baik maka hendaklah dia melakukan
hal itu dan membayar kafarah.
"Maknanya dalam Islam, ada jalan keluar apabila kita mungkir janji.
Dalam bab dosa, itu antara kita dengan Allah SWT.. kita istighfar..
bertaubat. Allah sahaja yang tahu hati kita," katanya.
Siti Mariah baru-baru ini mengumumkan peletakan semua jawatannya dalam
PAS selepas merasakan beliau tidak lagi serasi dengan perjuangan serta
corak kepemimpinan parti itu.
Beliau juga merupakan antara 22 bekas pemimpin yang disahkan bukan lagi
ahli parti itu sebaik sahaja dilaporkan berada dalam barisan
kepemimpinan Parti Pekerja Malaysia (Parti Pekerja) yang dibentuk oleh
para pendukung Gerakan Harapan Baru (GHB).
Bagaimanapun, beliau enggan melepaskan jawatan Ahli Parlimen Kota Raja
yang disandangnya sekali gus dikatakan melanggar bai’ah yang pernah
dilafazkan ketika Pilihan Raya Umum 13.
Siti Mariah dalam pada itu menyelar PAS Kelantan kerana memasukkan
ungkapan taklik talak tiga dalam lafaz bai’ah kerana mendakwa perkara
itu tidak pernah dipersetujui di peringkat pusat.
"Dalam kes Dr. Hatta Ramli (Ahli Parlimen Kuala Krai) sekarang sudah
jadi polemik, kita berasa sedih juga kerana tidak ada kesepakatan dari
segi pendapat alim ulama.
"Sepatutnya kita buat satu perbincangan dan tengok apa pendapat ulama
terbanyak, bukan ulama PAS sahaja. Majlis Fatwa patut bersidang dan
ambil tindakan kerana ini mungkin bercanggah dengan amalan mazhab Imam
Shafie," katanya.
Kelmarin, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa semua
pihak menghentikan polemik isu bai'ah dan biarkan pihak yang
berautoriti, iaitu mahkamah syariah, menentukan hukum.
Katanya, perbicangan terbuka dengan masing-masing mengeluarkan pelbagai
pandangan akal akan menimbulkan kecelaruan di kalangan masyarakat.
Beliau dalam pada itu berkata, pihak yang terlibat mesti merujuk kepada
mahkamah syariah untuk memutuskan sesuatu isu yang melibatkan hukum
syarak.
Tambahnya lagi, bai'ah melibatkan hukum syarak yang mempunyai implikasi
yang besar, maka wajar bagi semua menyerahkan kepada pihak yang
berautoriti dalam menentukan hukum bagi memutuskannya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment