Sunday, September 06, 2015
Jangan Terkejut Bebbbb.... Beruk Jantan Gemparkan Sesi Pengajian Pondok
JITRA : Orang ramai gempar selepas seekor beruk jantan masuk ke dalam
surau ketika kelas agama sedang berlangsung di sebuah pondok pengajian
di Kampung Bukit Teriak di sini.
Kejadian yang menjadi viral di laman sosial itu berlaku pukul 9 pagi
Sabtu ketika kira-kira 390 orang sedang mengikuti kelas pengajian agama
mingguan di Mahad Dar Muhajirin di Kampung Bukit Teriak.
Tenaga pengajar pondok tersebut, Ummi Kalsom Ismail, 31, berkata beruk
jantan tersebut datang dari arah hutan di belakang pondok itu dan
berlegar-legar di sekitar pondok tersebut tanpa mengganggu atau
mencederakan orang ramai yang mengikuti kelas pengajian.
Beliau berkata haiwan itu juga memerhati setiap daripada mereka yang
berada di luar surau dan tidak mengambil makanan yang diberikan
kepadanya.
"Selepas berlegar di luar, haiwan itu masuk ke dalam surau dan apa yang
peliknya haiwan itu hanya melihat orang yang sedang membaca kitab agama
dan hanya duduk melihat kelas pengajian yang berlangsung.
"Kemudian haiwan tersebut memanjat badan guru agama yang sedang
mengajar. Ustaz itu hanya membiarkan beruk itu berada di atasnya selama
beberapa minit sebelum haiwan itu turun sendiri," katanya ketika ditemui
di pondok itu Ahad.
Ummi Kalsom berkata ia merupakan kejadian pertama sejak pondok itu sejak
dibuka pada 2001 dan ia merupakan pengalaman tidak dapat dilupakan
kerana haiwan sebesar kanak-kanak berusia lima tahun itu tidak bertindak
agresif seperti kebiasaan beruk lain.
Beliau berkata orang ramai kemudiannya menghubungi Jabatan Pertahanan
Awam Malaysia (JPAM) untuk menangkap haiwan tersebut kira-kira pukul
10.30 pagi kerana bimbang berlakunya kejadian yang tidak diingini.
"Kami lihat beruk itu masuk ke dalam sangkar tanpa bertindak agresif," katanya.
Sementara itu beruk jantan, yang ditempatkan di JPAM Kota Setar buat
sementara waktu sebelum ini, telah diserahkan kepada Jabatan Perhilitan
untuk tindakan lanjut.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment