Monday, September 07, 2015
Ambil Tindakan Terhadap Komplot Jatuhkan Kerajaan
Pelbagai pihak mendesak polis mengambil tindakan
ekoran pendedahan maklumat baharu wujudnya komplot menjatuhkan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak oleh Editor Sarawak Report, Clare
Rewcastle-Brown dan Xavier Andre Justo.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
berkata, penglibatan beberapa nama dalam komplot berkenaan termasuk
pengurusan atasan syarikat media, pemimpin pembangkang dan bekas
pemimpin negara, juga perlu diberikan perhatian sewajarnya.
Katanya, apabila pendedahan itu mengaitkan komplot berkenaan dengan
nama-nama pemimpin pembangkang seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tony
Pua serta bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, ini
mendatangkan satu kekhuatiran yang tinggi dalam kalangan rakyat.
“Ini satu tindakan jahat yang berbahaya kepada negara. Pihak polis
perlu menyiasat perkara ini termasuk individu-individu yang disebut itu.
Pada saya, ini adalah tindakan jenayah, memerangi Yang di-Pertuan Agong
dan boleh didakwa di bawah kanun keseksaan.
“Brown dan mereka yang bersubahat dengan beliau tidak boleh
dilepaskan begitu sahaja.
Siasatan rapi dan tindakan tegas di bawah
undang-undang negara mesti diambil terhadap kesemua mereka yang terlibat
dalam usaha mensabotaj serta menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh
rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tentang pendedahan beberapa akhbar berhubung
perbualan Brown dan Justo menerusi aplikasi WhatsApp bahawa dia sedang
mengubah masa depan sebuah negara dan akan meraikannya dengan segelas
champagne sebaik sahaja ‘Najib tumbang’.
Perbualan WhatsApp itu kata sumber, turut melibatkan pengurusan kanan
Kumpulan Media The Edge iaitu Tong Kooi Ong dan Ho Kay Tat selain
mendedahkan keakraban hubungan Brown dengan Anwar, Tony dan Dr.
Mahathir.
Namun begitu, Kooi Ong dan Kay Tat menerusi satu kenyataan hari ini
menafikan penglibatan mereka dalam komplot menggulingkan kerajaan.
Dalam pada itu, seorang lagi Ahli MT UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery
Cheek berkata, tindakan tegas perlu diambil kepada mereka yang terlibat
dalam komplot tersebut bagi memastikan kedaulatan negara tidak sesekali
diruntuhkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Katanya, pendedahan itu membuktikan ancaman terhadap kedaulatan negara boleh berlaku dalam sebarang keadaan dan pelbagai bentuk.
“Mengambil tindakan terhadap mereka yang berada di luar negara adalah tidak mudah, namun ia boleh dilakukan,” katanya.
Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Tan Sri M. Kayveas pula
berkata, penglibatan pemimpin pembangkang dengan kedua-dua suspek itu
membuktikan bahawa mereka tidak layak memegang tampuk pimpinan negara.
“Belum dapat menguasai negara sudah berani memperjudikan dan
bersubahat dengan orang luar untuk kepentingan sendiri, bayangkan jika
mereka menjadi pemimpin, apa pula akan tergadai.
“Orang seperti Brown dan Justo tidak terkesan dengan masalah yang
mereka timbulkan, sebaliknya, kita sebagai rakyat yang menderita apabila
isu ini memberikan imej buruk kepada negara sekali gus memburukkan lagi
ekonomi negara,” katanya.
Sementara itu, Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong pula berkata,
pihak polis perlu mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang
berkaitan dan orang yang bersubahat.
“Kita mengharapkan penyiasatan yang telus dan teliti supaya kebenaran
dapat dilihat oleh rakyat. Terlalu banyak fitnah di media sosial yang
memburukkan imej kerajaan dan Perdana Menteri sekarang,” katanya.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment