Sunday, September 06, 2015

Azmin "Arahkan" Polis Jangan Siasat Peserta #Bersih4

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali hari ini menggesa polis supaya menumpukan kepada masalah jenayah yang lebih serius berbanding memanggil individu yang terlibat dalam perhimpunan Bersih 4 hujung minggu lalu.

Azmin berkata tindakan polis itu membuang masa dan membazir wang rakyat yang membayar cukai kepada kerajaan supaya pihak berkuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjaga kepentingan dan keselamatan awam.

"Tidak harus wang rakyat seperti ini digunakan untuk kepentingan politik mana-mana pihak. Itu gesaan saya pada polis.

"Polis perlu tumpu masalah jenayah yang semakin serius hari ini dan tidak menekan rakyat yang sebenarnya berhimpun secara aman, menurut perlembagaan dan peruntukan sedia ada," katanya.

Presiden PKR itu juga menyeru kepada pihak polis agar melihat kembali perkara itu dengan serius supaya keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap institusi itu dapat dikembalikan.

"Institusi PDRM adalah satu sistem demokrasi yang harus memelihara ketenteraman dan keselamatan rakyat, bukan individu," kata Azmin.

Khamis lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis akan memanggil lebih ramai lagi individu dan peserta yang menyertai perhimpunan Bersih 4 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 29 dan 30 Ogos lalu.

Katanya, polis sedang mengkaji klip video dan gambar semasa perhimpunan 34 jam tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment