Sunday, September 06, 2015
Bai'ah: Mat Sabu Minta Guna Pandangan 'Paling Ringan'
PETALING JAYA : Bekas wakil rakyat PAS yang bertindak keluar parti dan
menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) diminta merujuk kepada ulama
muktabar berhubung status bai'ah cerai talak tiga yang dibuat sebelum
ini.
Pengerusi Amanah, Mohamad Sabu berkata, wakil rakyat yang terlibat
seharusnya berpegang kepada pandangan ulama, mazhab atau perbezaan
pandangan selagi ia mempunyai kelonggaran.
"Janganlah kita berpegang kepada satu-satu pandangan sahaja. Rujuklah
kepada pandangan ulamak muktabar di Malaysia dan juga dari luar negara.
"Sekali lagi saya menyeru kepada mereka yang terlibat dalam hal ini,
agar meletakkan kesabaran paling tinggi dan bertawakal kepada Allah.
Berpeganglah kepada pandangan yang paling ringan di antara
pandangan-pandangan ulamak yang boleh diterima pakai," katanya menerusi
kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob meminta Ahli
Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli merujuk ke Mahkamah Tinggi Syariah
Kelantan dalam isu baiah talak tiga yang dilafazkan pada pilihan raya
umum (PRU) lalu.
Jelas Ahmad, lafaz taklik yang dibuat Hatta itu terpakai, sekali gus menganggap hubungannya dengan isterinya terbatal.
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata
bai'ah untuk calon yang bertanding mewakili parti Islam itu adalah sama
bagi setiap negeri.
Bagaimanapun katanya, terdapat pertambahan bagi calon yang bertanding di
Kelantan apabila lafaz taklik talak tiga turut menjadi sebahagian
daripada bai'ah.
Hatta merupakan antara 10 bekas wakil rakyat PAS yang bertindak keluar parti secara beramai-ramai bagi menyertai Amanah.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment