Monday, September 07, 2015

Berduyun-Duyun Rakyat Kedah Sertai UMNO/BN Kerana Mukhriz?

Sungguh mengejutkan kita apabila dilaporkan bahawa berjuta rakyat Kedah yang berbangsa Melayu telah menyerbu semua pejabat UMNO Bahagian di negeri itu meminta borang keahlian dan menyertai UMNO serta merta.

Juga dilaporkan bahawa ratusan ribu masyarakat Cina di Kedah yang berpusu-pusu mencetak borang keahlian MCA dan Gerakan, mengisi borang tersebut dan menyerahkannya kepada pejabat dua parti terbesar Cina itu sebagai tanda tidak lagi menyokong parti pembangkang.

Turut dilaporkan bahawa berpuluh ribu masyarakat India di Kedah melakukan perkara yang sama, bertindak menyertai MIC dengan menyerahkan borang keahlian masing-masing.

Paling mengejutkan ialah apabila dilaporkan berjuta golongan muda dari saluran 4, 5, 6 dan ke atas dilaporkan turut teruja menyerahkan borang keahlian UMNO, MCA, Gerakan dan MIC di pejabat-pejabat parti itu di seluruh Kedah.

Khabarnya, itulah 'penangan' dari gerakan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Dato' Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, yang memegang jawatan tersebut sejak tahun 2013 menandakan kejayaan beliau yang sangat hebat.

Mungkin itulah angan-angan yang dirasakan ketika Mukhriz diumum menjadi Menteri Besar Kedah dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah merangkap Pengerusi BN di negeri tersebut. Sangat menggunung harapan di hati penulis...

Setelah lebih tiga tahun memegang jawatan nombor satu di Kedah, Mukhriz dikatakan sangat disokong oleh seluruh rakyat Kedah. Menerusi beberapa laman Facebook berkonsepkan 'muka Mukhriz', Menteri Besar itu dilambung setinggi langit membayangkan Mukhriz bagaikan 'dewa' yang memberi rahmat di Kedah.

Hakikatnya, anak mak long dan pak ngah di Kodiang masih lagi gagal mendapat sebarang pekerjaan, pembangunan yang dicanang masih lagi diperingkat perancangan, jalanraya masih lagi berlubang berlopak dan ramai lagi rakyat Kedah yang tidak cukup makan.

Tapi tidak mengapalah. Asalkan Mukhriz yang menjadi Menteri Besar, semua masalah tersebut tidak menjadi soal. Mukhriz sememangnya 'terbaik', 'terhebat' dan perlu dikekalkan sebagai Menteri Besar Kedah sehingga ke akhir hayatnya...

Dilaporkan bahawa gambar-gambar Mukhriz bersama rakyat turut disebarkan secara meluas di media-media sosial. Khabarnya, beliau cukup mendengar suara dan rintihan hati rakyat Kedah serta sering berjanji membantu menyelesaikan masalah mereka.

Sebagai contoh, ketika berlaku bencana ribut di negeri itu baru-baru ini, Mukhriz adalah antara yang terawal turun padang untuk bersama menyelami derita mangsa dan menawarkan bantuan segera kepada mereka yang terlibat bencana, termasuk bantuan dari sudut membaik pulih infrastruktur yang terjejas.

Namun menurut rakan-rakan penulis yang pulang ke Kedah tempohari, ramai lagi mangsa bencana yang masih lagi tidak mendapat 'bantuan segera' yang dicanang Mukhriz itu. Kediaman mereka masih lagi beratapkan langit dan tidak sempurna macam 'rumah tak siap'.

Malangnya kata mereka, mereka yang dikatakan kuat 'mengipas' Mukhriz itu sibuk mempromosikan agenda 'kekalkan Mukhriz menjadi Menteri Besar Kedah'. Khabarnya, Mukhriz tidak bimbang hilang jawatan, tapi mereka-mereka yang di sekelilingnya pula yang bimbang sangat jika Mukhriz diarah bertugas di peringkat Pusat sebagai menteri kabinet.

Sekiranya benar hakikat yang berlaku di Kedah sebagaimana yang diceritakan sumber itu, maka pada pandangan kita, sokongan yang diberikan kepada Mukhriz itu hanyalah palsu dan berpaksikan retorik politik sahaja.

Khabarnya bilangan keahlian UMNO dan parti komponen BN lebih lembab berbanding ketika PAS memerintah Kedah kira-kira lima tahun sebelum ini. Ditambah pula dengan pengurusan UMNO negeri yang dikatakan sedang dikuasai 'pilihan Mukhriz' dan ketiadaan orang lama yang berpengalaman serta berkesan, UMNO dikhabarkan masih lagi 'lena diulit mimpi'.

Kita tidak dapat memastikan samada cerita dari sumber dalaman di Kedah ini benar atau tidak, namun itulah yang kita dengar dari beberapa rakan dari negeri itu. Jika ia benar, maka kita merayu supaya Mukhriz berubah segera. Usahlah hanya dilaungkan saja 'berani berubah' jika enggan berubah.

Sewajarnya perubahan itu perlu ke arah positif dan bukannya ke arah negatif sebagaimana yang laporkan. Usahlah 'syok sendiri' dengan laporan dari mereka yang ada di sekeliling dan beliau sepatutnya berani menerima kritikan yang membina dari merajuk cari ayahandanya..

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment