Monday, September 07, 2015

Kedah Ditadbir 'UMNO/BN Negeri' Atau 'Mukhriz Dan Rakan-Rakan'?

EDITOR MENULIS...
7 SEPTEMBER 2015
 
Sememangnya kecoh apabila pihak-pihak tertentu membuat spekulasi mendakwa Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir akan ditukar dari terus menjawat jawatan Menteri Besar Kedah. Kecohnya sehingga ramai yang lebih 'over' berbanding Mukhriz sendiri...

Antara yang kecoh dengan desas-desus itu sudah tentulah mereka yang sedang giat mengelilingi Mukhriz di Kedah. Selain itu, beberapa pihak yang mengendalikan urusan publisiti Mukhriz juga dikatakan tidak senang duduk dengan gossip politik itu.

Padahal, tidak pula keluar sebarang bayangan dari Presiden UMNO, Dato' Seri Najib Tun Razak untuk beliau menukar Mukhriz dari jawatan Menteri Besar. Malah, Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi juga sempat menegaskan bahawa khabar angin itu tidak benar.

Jadi, tidak tahulah apa yang mereka-mereka itu takutkan. Mungkin takut hilang jawatan dan kekananan kedudukan di sisi Menteri Besar Kedah?

Meneliti beberapa ucapan pemimpin UMNO Bahagian dalam mesyuarat UMNO di sekitar Kedah yang tersebar meluas di Youtube minggu lalu, kita boleh melihat kepincangan yang terdapat di dalam pentadbiran UMNO di negeri berkenaan.

Meskipun tidak tinggal dan bukan orang Kedah, namun sebagai rakan 'senegara', kita turut mendapat pelbagai cerita panas tentang apa yang berlaku di negeri tersebut. Paling merunsingkan ialah tentang UMNO Kedah yang masih belum pulang dari 'bulan madu'.

Sistem demokrasi di negara kita menyaksikan sistem parti yang menang dalam pilihanraya akan dilantik menjadi kerajaan sama ada diperingkat Pusat atau negeri, tidak terkecuali Kedah.

Namun yang peliknya, selepas berjaya merampas kembali Kedah dari tangan PAS, negeri itu seakan-akan tidak diperintah UMNO dan hanya ditadbir oleh Mukhriz serta rakan-rakan yang beliau pilih berdasarkan pilihan peribadinya.

Memilih rakan-rakan rapat untuk bersama membantu mentadbir negeri Kedah, itu bukan masalah atau kesalahan. Namun untuk bertindak seakan-akan mengenepikan nama UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai parti pemerintah, tindakan itu agak janggal dan tidak wajar.

Kita juga dimomokkan bahawa kekuatan dan populariti Mukhriz sebagai Menteri Besar di Kedah agak tinggi melangit. Khabarnya kerana Mukhriz, maka Kedah dapat ditawan semula. Kononnya Mukhriz mendapat sokongan padu dari golongan anak-anak muda di Kedah.

Benarkah kenyataan itu atau ia hanyalah sekadar persepsi 'syok sendiri' atau sekadar untuk menyedapkan hati sahaja? Jika tidak benar, apakah fakta yang benar?

Kita boleh melihat, Mukhriz memang popular di Kedah. Namun sejauh mana popularnya Mukhriz di kalangan rakyat Kedah? Sejak menjadi Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, berapa ramaikah rakyat Kedah yang menyertai UMNO kerana Mukhriz?

Jika dikatakan populariti Mukhriz di kalangan anak-anak muda di Kedah itu sangat hebat, berapa ramaikah dari golongan yang terdiri dari saluran 4, 5 dan 6 di negeri itu yang menyerahkan borang menyertai UMNO?

Kita boleh berpandangan bahawa, keadaan ini berlaku adalah disebabkan kurangnya tumpuan Mukhriz sendiri pada pengurusan, pentadbiran dan kegiatan UMNO Negeri Kedah. Padahal, apabila mengetuai Kerajaan Negeri dan UMNO Negeri, maka Mukhriz perlu pastikan kedua-duanya berjalan lancar seiring.

Sifat 'seiring' itu tidak berlaku dalam pertadbiran Mukhriz di Kedah. Ia menimbulkan persoalan pada penganalisis politik sama ada Kedah ditadbir oleh Mukhriz atau UMNO/BN. Apa yang jelas sekarang, Kedah tidak ditadbir oleh UMNO/BN, tapi ditadbir oleh Mukhriz dan rakan-rakannya sahaja.

Soal seterusnya, apakah Mukhriz perlu ditukar dari jawatan Menteri Besar? Pada pandangan kita, sekiranya Mukhriz ditukar, ia akan menjejaskan pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah ekoran beliau telah merencanakan beberapa dasar untuk pembangunan negeri. Sekiranya diganggu dipertengahan penggal, maka ia mungkin merencatkan perancangan dasar-dasar tersebut.

Sewajarnya, biarlah Mukhriz meneruskan mandat untuk menjadi Menteri Besar Kedah untuk penggal ini hingga ke PRU ke-14 nanti. Menukar beliau dari mengetuai Kerajaan Negeri Kedah mungkin akan menyebabkan ketidakstabilan politik serta merugikan rakyat dan negeri itu.

Cuma, kita berpandangan bahawa jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah perlu diberikan kepada individu lain. Sekiranya dilihat secara perlaksanaan, konsep 'Menteri Besar orang lain, Pengerusi UMNO Negeri orang lain' adalah perkara biasa yang diamalkan. Sebagai contoh, negeri Perlis mengamalkan konsep berkenaan.

Antara nama yang mungkin boleh dipertimbangkan ialah Dato' Seri Mahdzir Khalid. Beliau secara 'ranking' ternyata sesuai kerana beliau merupakan seorang menteri penuh. Selain itu, beliau juga merupakan bekas Menteri Besar Kedah yang berpengalaman.

Biar pun Kedah pernah jatuh ke tangan PAS di zaman pentadbirannya, namun beliau benar-benar 'orang Kedah' tulen jika dilihat dari segi gaya hidup, dialek atau loghat, gaya bersosial dengan masyarakat dan amat rapat dengan pihak istana.

Selain itu, nama 'general perang' yang berjaya merampas Kedah dari PAS, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah juga boleh dipertimbangkan untuk menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah.

Biarpun menerima pelbagai cemuhan, maki hamun dan diperlekeh ketika mengetuai UMNO Kedah ketika negeri itu dibawah PAS, beliau dengan gaya bersahaja, kaya dengan sentuhan personal dan sosialisi, diplomasi dan sifat rendah dirinya telah berjaya menyatukan seluruh warga UMNO di Kedah untuk merampas kembali negeri itu dari PAS.

Sementara itu, mungkin nama seperti Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid, Datuk Othman Abdul Aziz dan beberapa lagi tokoh UMNO Kedah yang berpengalaman menguruskan parti juga layak dipertimbang untuk mengetuai UMNO Negeri Kedah.

Kita tidak pernah menafikan ketokohan Mukhriz sebagai Pengerusi UMNO Negeri, namun melihat progres parti yang berlaku di Kedah yang bagaikan hidup segan mati tak mahu dan seolah-olah masih lena diulit mimpi kayangan, maka kita boleh beranggapan beliau gagal.

Malah rungutan di peringkat akar umbi juga menurut beberapa sumber menunjukkan ramai ahli dan penyokong UMNO yang merungut dengan keadaan UMNO Negeri itu yang tidak seiring dengan Kerajaan Negeri.

Kita bukanlah Tun Dr Mahathir yang mampu mengatur atau mencatur jawatan secara autokrasi di dalam UMNO. Namun menurut sumber dalaman UMNO di negeri itu, UMNO Negeri Kedah perlukan 'rebranding' dan 'kepalanya' perlu ditukar untuk memastikan ia berlaku...

Fikir-fikirkanlah....

Disediakan oleh :
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjRi9-k6lkLvLEuzcyoax6kfUvkfTacPnmvYIbY9pD9wxT5ytriwDr2i60S4jTxQs8KwAzfbs3v5LGKVEGhFuPUqZOYvQKPpM068VXZz7A__HRf02MDvJFRubdLol1Fkm9ntvrwmzNZM3A/s200/IMG_4072-1.JPG
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban

No comments:

Post a Comment